Terpaksa sara enam anak

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Luluh hati seorang isteri apabila melihat suami yang dahulunya ceria, sihat dan mampu menyara kehidupan keluarga kini hanya terlantar selepas disahkan mengidap sakit  buah pinggang kronik tahap empat.


Sarifah Samat, 40, berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah sejak empat bulan lalu, selepas doktor dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mengesahkan kedua-dua buah pinggang suaminya, Razali Manap, 53, gagal berfungsi.


Menurutnya, kejadian menimpa suami secara tiba-tiba  amat mengejutkan  kerana pada mulanya hanya menyangka sakit disebabkan penyakit kencing manis kronik dialami.


“Tak ada tanda-tanda pun suami sakit buah pinggang. Tiga empat bulan lalu suami ada sakit teruk dan terus dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Saya agak terperanjat bila doktor sah  buah pinggang suami tak berfungsi dan kini terpaksa jalani dialisis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dato Rashid di sini, semalam.


Penderitaan keluarga itu mendapat perhatian Adun Beserah, Andansura Rabu apabila belia  melawat Razali dan menyampaikan  sumbangan.


Sarifah mengakui kehidupannya bertambah sukar apabila suami  yang merupakan pencari nafkah tunggal tiada lagi kudrat untuk bekerja.


Katanya, rumah sewa yang didiaminya mereka sudah beberapa bulan tidak berbayar, malah bil utiliti seperti  air dan elektrik turut tertunggak.


Jelasnya, dia bukan tidak mahu bekerja, sebaliknya terpaksa menjaga enam anaknya yang berusia 13 tahun hingga setahun dan suaminya pula memerlukan pemantauan serta terpaksa dibantu untuk bergerak.


“Saya bukan tak nak bayar, tapi tak ada duit nak bayar, suami saya kerja sendiri, jadi kalau dia bekerja baru dapat duit. Bila dah macam ini (sakit) duit pun tak ada. Kalau saya kerja siapa nak jaga anak-anak saya ni.


“Sepanjang empat hingga lima bulan ini kehidupan kami bergantung kepada ihsan orang ramai. Warga Kuantan banyak meringankan beban kami sekeluarga dan Alhamdulillah ALLAH permudahkan,” katanya.


Sarifah turut meminta orang ramai agar dapat menyumbangkan kerusi roda bagi memudahkan dia menguruskan suami.


Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan sama ada kerusi roda, pakai lampin buang dan susu boleh menghubungi Sarifah di talian 016-9510306 atau menderma melalui akaun milik dirinya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]