600 kampit beras percuma

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Kumpulan Bismi mengambil pendekatan berkongsi keuntungan hasil perniagaan dengan pelanggan menerusi pemberian beras percuma kepada masyarakat.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bismi, Mazlina Kamarudin berkata, sebanyak 600 kampit beras lima kilogram (kg) disediakan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk tujuan itu.


“Bersempena sambutan kemerdekaan ke-60 Malaysia, kami memilih angka enam iaitu 600 kampit beras untuk diedarkan kepada pelanggan Ayam Bismi.


“Untuk permulaan, kita memberi 300 paket beras kepada pelanggan terawal yang mengunjungi pusat jualan Ayam Bismi pada Sabtu lepas,” katanya.


Menurutnya, selebihnya sebanyak 300 paket beras lagi akan diberi percuma secara berperingkat kepada pelanggan selepas ini.


“Kita pegang konsep kongsi untung dengan pelanggan. Jadi, hasil keuntungan yang diterima melalui jualan ayam akan dipulangkan kembali kepada pelanggan melalui aktiviti CSR sebegini,” katanya.


Mazlina berkata, dia bersyukur dengan sambutan orang ramai terhadap aktiviti CSR Ayam Bismi yang amat luar biasa apabila ada datang seawal 7.30 pagi bagi mendapatkan beras percuma.


“Alhamdulillah, majoriti yang datang awal hari itu berpeluang dapat beras percuma.


“Selepas itu, kita turut menjamu nasi Arab Ayam Bismi untuk dinikmati semua pengunjung,” katanya.


Katanya, pihaknya tidak kisah berkongsi rezeki sedemikian, memandangkan amalan kebajikan sedemikian memberi ganjaran pahala.


“Program CSR Ayam Bismi tidak akan terhenti di situ sahaja, malah pelbagai lagi aktiviti akan diadakan nanti demi membantu masyarakat,” katanya.


Terdahulu, enam pelanggan bertuah mendapat durian runtuh hasil belian ayam apabila menerima sebuah motosikal bersempena program Semarak Kemerdekaan 2017 di pusat jualannya di Simpang Empat, di sini.


Enam pemenang cabutan bertuah yang menerima hadiah berupa motosikal dalam program anjuran Ayam Bismi itu ialah Fahmi Razali, 26, Muhammad Amir Ramli, 26, Zulhilmy Zakaria, 32, Syuhaimi Kamaruddin, 35, Suhaila Fuad, 39, dan Karim Mohamad, 47.


Katanya, Ayam Bismi menerima lebih 150,000 borang cabutan bertuah melalui program Semarak Kemerdekaan yang diedarkan sejak April lepas.


“Program cabutan bertuah diadakan bagi menanam semangat patriotisme dalam diri pelanggan bersempena Sambutan Kemerdekaan yang ke-60,” katanya.


Malah katanya, Ayam Bismi memperuntukkan sebanyak RM40,000 untuk merealisasikan program CSR bagi membantu masyarakat itu.


“Pada 8 September lepas, Ayam Bismi membuat tawaran istimewa menjual ayam segar RM1 untuk seekor sempena pembukaan cawangan baru di Taman Pekan Baru, Sungai Petani pada 8 September lalu.


“Susulan itu, semua 100 ekor ayam segar dijual di cawangan baru Ayam Bismi habis dijual dalam tempoh sejam berikutan sambutan baik daripada pelanggan,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]