Ajal ketika pulang dari tempat kerja

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja kilang maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 146.6 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran dengan Juru di sini malam semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mangsa yang dikenali Yeoh Chin Lee,54 dikatakan dalam perjalanan pulang menuju ke rumahnya di Sungai Bakap.


Mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan tidak sempat mengelak lori berkenaan yang berhenti selepas mengalami masalah brek.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, akibat kejadian itu mangsa terpelanting daripada motosikalnya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.


“Pasukan perubatan yang dikejarkan ke tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.


“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat,”katanya ketika dihubungi di sini.


Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warga Nepal maut selepas basikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Estate Juru di sini.


Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malan itu, mangsa yang dikenali sebagai Til Bahadue, 43 dikatakan cuba melintas jalan sebelum dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dari arah Juru.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]