Ayat suci di sebalik jeriji besi

in Uncategorized by


MEREKA mungkin pernah terpalit dosa, tetapi golongan ini juga antara yang terpilih kerana diberi peluang menghafaz al-Quran apabila sebahagian kita tidak pernah mencuba.


Sesiapa yang berkesempatan menghadiri Majlis Perujian Hafazan al-Quran kali kesembilan dan Pertandingan Nasyid kali ke-11 peringkat penghuni penjara di Penjara Tapah, minggu lalu, pasti terpukau dengan bacaan dilantunkan dari sebalik tembok penjara ini.


Segak berpakaian baju Melayu bagi lelaki dan berbusana Muslimah bagi perempuan, wajah ceria peserta membuktikan al-Quran adalah penawar mujarab untuk mengubati penyakit jasmani dan rohani tanpa mengira pendampingnya.


Sejak 2010, Jabatan Penjara Malaysia memperkenalkan modul hafazan al-Quran dalam pemulihan dan rawatan penghuni beragama Islam di 39 penjara, pusat tahanan dan sekolah pemulihan akhlak seluruh negara.


Lahir ramai huffaz


Timbalan Komisioner Jeneral (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Alzafry Mohamed Al Nassif Mohamed Adahan berkata, tindakan mewajibkan setiap banduan beragama Islam  mengikuti kelas tahfiz dan agama berjaya melahirkan ramai huffaz dalam kalangan penghuni penjara.


Katanya, menerusi pelaksanaan kelas itu, ramai penghuni penjara menampakkan perubahan positif selain berpeluang mengenal dan membaca ayat al-Quran serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.


“Kami mendapati mana-mana banduan beragama Islam yang pertama kali masuk penjara, majoritinya tidak tahu membaca al-Quran.


“Alhamdulillah, dengan inisiatif ini mereka dapat mengenali huruf dan boleh membaca al-Quran dengan lancar, sekali gus memperteguh rohani dan jasmani.


“Malah kita dapati golongan yang sering masuk penjara telah berkurangan dan yakin mereka ini telah sedar selain berharap mereka terus berubah ke arah kebaikan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas majlis penutup program yang dirasmikan oleh Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria, baru-baru ini.


Program yang berlangsung tiga hari itu melibatkan 156 penghuni penjara membabitkan 91 hafazan al-Quran dan 25 kumpulan nasyid dari 28 institusi penjara seluruh negara.


Pada pertandingan itu juga, wakil banduan Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka muncul johan keseluruhan.


Alzafry Mohamed Al Nassif berkata, asas agama yang baik dapat membina jiwa kental dan menghalang banduan daripada terjebak dengan perkara menyalahi peraturan dan undang-undang.


Katanya, selain mengajar membaca al-Quran, matlamat program hafazan di penjara adalah bagi penghuni mempelajari tafsir dan memahami isi kandungannya.


“Matlamat kita supaya mereka boleh solat dan sekiranya banyak hafazan, mereka boleh ke hadapan menjadi imam.


“Apabila al-Quran sudah ada di dada, sudah tentu mereka lebih yakin mendirikan sembahyang dan ia benteng terbaik daripada melakukan perkara yang merosakkan dan dilarang ALLAH,” katanya.


Juri puas hati


Pegawai Hal Ehwal Islam  Bahagian Agama, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, merangkap pengerusi jemaah hakim program, Abdullah Hashim berkata, barisan hakim berpuas hati dengan pencapaian penghuni penjara pada pertandingan itu.


Bagaimanapun katanya, beberapa perkara masih perlu diambil perhatian seperti menjaga hukum tajwid dan di samping perlu mengetahui tatacara wakaf (tempat berhenti) serta memulakan bacaan (ibtida’) semula bagi menjamin kesempurnaan dan makna al-Quran.


“Bagi bahagian nasyid, hakim berpendapat pada tahun ini, persembahan yang dibuat kesemua kumpulan bertanding dan lirik dihasilkan menepati tema ‘taubat seorang hamba’ yang ditetapkan,” katanya.


Golongan terpilih


Peserta yang juga juara bagi kategori tahap ketiga, Afiq, 24, berkata, dia mendapat ketenangan apabila mula menghafaz al-Quran ketika menjalani hukuman penjara selama empat tahun.


Dia yang kini berada di Kem Mahkota Kluang, Johor, menghabiskan masanya menghafaz al-Quran di kelas yang disediakan.


“Saya mungkin orang yang terpilih untuk menghafaz ayat suci al-Quran dan hati saya tenang ketika membaca al-Quran,” katanya.


Bagi penghuni Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka, Zeti berkata, dia mengambil masa dua bulan untuk menghafaz menerusi kelas disediakan.


“Mulanya sukar, tapi dengan bantuan tenaga pengajar memudahkan saya untuk membaca dan menghafaz.


“Saya tak sangka saya mampu mendapat tempat pertama dalam hafazan tahap ketiga wanita pada kali ini walaupun peserta lain pun sama hebat,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]