Bekas TKP JPJ tidak keluarkan arahan operasi

in Semasa by


PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Ketua Pengarah  (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob memberitahu Mahkamah Majistret bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan arahan atau diberitahu bahawa JPJ mengadakan operasi aduan bergambar di kawasan Lingkaran Putrajaya.


Yusoff yang didakwa kerana memandu di lorong kecemasan di Lingkaran Putrajaya pada 7 Okt 2016, berkata kawasan berkenaan tidak sesuai untuk operasi aduan bergambar kerana ia berhampiran dengan kawasan pembinaan dan laluan pengguna untuk membuat pusingan U serta mempunyai lencongan.


“Kebanyakan operasi yang diadakan akan dimaklumkan kepada saya, biasanya ada arahan bertulis dikeluarkan. Saya yang bertanggungjawab di bahagian penguatkuasaan.


“Ketika kejadian, apabila berlaku kesesakan yang teruk dan ternampak kenderaan JPJ berada di sana serta dua anggota sedang mengambil gambar, saya bertindak melakukan pemantauan. Didapati kedudukan mereka mengambil gambar tidak sesuai, tidak mengikut peraturan iaitu di kawasan bahu jalan yang tidak ditanda sebagai lorong kecemasan,” katanya.


Yusoff, 58, sebagai orang kena saman (OKS) yang ditukarkan berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 21 Julai 2017, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya Datuk Baljit Singh pada perbicaraan pembelaan kes melibatkan beliau di sini hari ini.


Beliau diperintah membela diri oleh Majistret Mohammad Zaki Kudos selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.


Yusoff yang memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu kereta nombor pendaftaran ‘BLY 68’ di lorong kecemasan Lingkaran Putrajaya di Putrajaya kira-kira 6.27 petang pada 7 Oktober 2016 yang bertentangan dengan Kaedah 53(1) Kaedah Lalu lintas Jalan 1959.


Beliau  merupakan saksi pertama pembelaan dan dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 119(1)  (c ) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, jika sabit kesalahan.


Selain itu, Yusoff juga memaklumkan bahawa tindakan mengeluarkan saman terhadapnya merupakan niat jahat dan bertujuan menjatuhkan maruahnya.


“Saya terkejut terima saman, sedangkan mereka sedar bahawa operasi yang dijalankan tidak ikut prosedur dan alatan yang digunakan tidak ikut arahan yang ditetapkan oleh jabatan. Sehari selepas gambar saya diambil esoknya gambar itu telah viral di laman sosial. Mereka memang berniat jahat kepada saya,” katanya.


Menjawab soalan pada pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan, Yusoff memaklumkan bahawa setiap arahan untuk mengadakan apa juga operasi oleh JPJ mesti dikeluarkan secara bertulis, bagaimanapun dalam keadaan tertentu arahan boleh dikeluarkan secara lisan.


Yusoff juga tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Izzat bahawa dalam apa juga keadaan semua individu termasuk pegawai penguat kuasa perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan


Bagaimanapun dia bersetuju dengan cadangan Muhammad Izzat bahawa tanpa perlu memandu di lorong kecemasan dia masih boleh melakukan pemantauan.


Selain Yusoff, turut dipanggil untuk memberi keterangan pada prosiding pembelaan hari ini ialah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Wilayah Kuala Lumpur Adenan Md Isa, yang ketika kejadian merupakan Ketua Bahagian Penguatkuasaan Negeri Selangor.


Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah menetapkan 16 Okt ini untuk keputusan terhadap kes berkenaan. –Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]