Bomba periksa lebih 200 pusat tahfiz

in Semasa by


PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah memeriksa lebih 200 pusat tahfiz di seluruh negara, susulan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, 14 September lalu.


Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, pihaknya melakukan perkara tersebut bagi memastikan semua pusat tahfiz berada dalam aspek keselamatan yang terbaik.


“Daripada jumlah itu, sebanyak 35 peratus daripada jumlah pusat tahfiz sudah diperiksa tidak mengikut spesifikasi keselamatan yang telah ditetapkan oleh bomba.


“Oleh itu, kita sudah mengeluarkan 144 Notis Penghapusan Bahaya Kebakaran kepada pusat tahfiz ini supaya mereka menambah baik aspek keselamatan premis dan mereka diberi masa untuk berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Beliau, semua premis terbabit akan diperiksa sekali lagi oleh anggotanya untuk melihat sama ada mereka sudah melakukan penambahbaikan atau sebaliknya.


Katanya, jika pusat tahfiz itu gagal menambah baik aspek keselamatan, mereka boleh didakwa di mahkamah.


Dalam perkembangan lain, Wan Mohd berkata, sebanyak 236 pasukan Skuad Bomba Pondok telah ditubuhkan di seluruh negara sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kebakaran di institusi sekolah agama.


“Sebanyak 3,500 orang telah menganggotai pasukan Skuad Bomba Pondok. Sebenarnya cadangan pusat tahfiz untuk mempunyai bomba pondok sudah lama, tetapi perkara ini baru dilaksanakan oleh beberapa pusat itu.


“Saya berharap lebih banyak pusat tahfiz untuk menubuhkan pasukan ini,” ujarnya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]