Dicekup ketika tunggu pelanggan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


TAMPIN – Tiga tokan dadah kecil-kecilan dicekup dalam dua pemeriksaan berasingan di sebuah kebun kelapa sawit di Felda Bukit Rokan Utara, di sini, petang kelmarin.


Dipercayai ketika pemeriksaan dilakukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Tampin itu, ketiga-tiga lelaki berusia 25 hingga 44 tahun  sedang menunggu pelanggan mereka.


Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, pemeriksaan berkenaan dibuat susulan kejadian tangkapan kes di bawah 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sebelum ini, membawa kepada tiga tokan kecil yang aktif mengedar di kawasan kebun.


“Pemeriksaan pertama dilakukan ke atas dua lelaki berusia 28 dan 44 tahun kira-kira jam 4 petang. Ketika pemeriksaan dilakukan di tempat kedua-dua suspek duduk, polis menemui satu beg berwarna hitam ungu.


“Di dalam beg berkenaan berisi empat paket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 23.50 gram dan dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 7.65 gram,” katanya di sini, semalam.


Hamazah berkata, suspek berusia 44 tahun bekerja sebagai buruh kebun sawit mempunyai sembilan rekod lampau dan satu kes dikehendaki di Gemencheh, di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.


Menurutnya, suspek berusia 28 tahun pula bekerja sebagai kelindan lori dan mempunyai dua rekod jenayah lampau dan satu kes dikehendaki di Senawang, membabitkan kes jenayah Seksyen 467 Kanun Keseksaan.


“Kedua-dua tokan kecil ini positif dadah jenis methampetamine dalam ujian urin yang dilakukan dan di tahan di bawah Seksyen 39 (B); Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.


Hamazah berkata, dalam pemeriksaan berasingan pada jam 5 petang di kawasan kebun yang sama, seorang penganggur berusia 25 tahun ditangkap selepas polis menemui dadah dalam sebuah beg berwarna hitam yang dipegang suspek.


Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menemui 12 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 17.30 gram dan dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 0.95 gram.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]