Hajat enam sekawan mandi sungai tak kesampaian

in Edisi by


KOTA BHARU – Hajat enam sekawan untuk mandi di Sungai Pengkalan Datu, Panchor di sini tidak kesampaian selepas salah seorang dari mereka lemas dalam kejadian di sini.


Dalam kejadian jam 12 tengah hari tadi, mangsa pelajar tingkatan dua, Sekolah Menengah Ugama Tarbiah Mardhiah Panchor, bersama lima rakannya pergi ke kawasan itu untuk meninjau keadaan sekeliling sebelum turun mandi di sungai terbabit.


Mangsa, Mohd Alif Zainudin, 14, pada mulanya hanya mandi di kawasan tebing sungai, namun ketika sampai di tengah dia dipercayai dihanyutkan arus.


Rakan mangsa, Che Muhammad Khairy Che Ismail, 14, berkata, dia cuba selamatkan rakannya itu namun tidak berjaya.


Melihatkan keadaan cemas itu dia turut minta pertolongan penduduk kampung dan terus menghubungi pihak bomba untuk tindakan susulan.


“Saya nampak mayat Mohd Alif timbul kira-kra setengah jam kemudian. Ketika diselamatkan, dia tidak bernyawa dan selepas itu disahkan meninggal dunia.


“Sebelum kejadian, perangainya agak pelik apabila di sekolah dia tidak banyak bercakap seperti biasa yang mudah mesra dengan rakan-rakan,”katanya.


Mohd Alif berkata, dia terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan rakannya itu.


“Kejadian berlaku begitu pantas dan kami tidak menyangka Mohd Alif akan lemas,”katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, hari ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan menerima laporan kejadian dan mengklasifikasikan kes terbabit sebagai kematian mengejut.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]