Jabatan Perikanan kesan 10 hingga 20 kes tuba ikan

in Edisi by


KOTA BHARU – Jabatan Perikanan Kelantan mengesan sekurang-kurangnya 20 kes menuba ikan di negeri ini setahun yang kebanyakkannya melibatkan kawasan sungai di Hulu Kelantan.


Pengarah Perikanan negeri, Anuar Salam Sulaiman berkata, aktiviti itu melibatkan kegiatan menuba, renjatan eletrik dan menggunakan bom yang menyebabkan ekosistem sungai pupus.


“Kegiatan ini juga turut memberi kesan kepada pembesaran benih ikan sungai dan udang yang turut merugikan ramai pihak.


“Kegiatan ini sering berlaku di kawasan Gua Musang,  Jeli, Kuala Krai dan Kota Bharu,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media di Sungai Wakaf Stan, di Pengkalan Datu di sini hari ini.


Turut hadir Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani.


Terdahulu, Muhammad melepaskan 20,000 anak ikan jenis lampam sungai, udang galah dan ikan baung di Sungai Wakaf Stan, Pengkalan Datu di sini.   


Anuar berkata, aktiviti menuba ini sering berlaku ekoran kekangan penguatkuasaan yang memerlukan kerjasama pihak nelayan.


“Kita harap nelayan turut beri kerjasama dalam menangani isu menuba yang menggangu ekosistem ikan dan melupuskan sumber di kawasan sungai.


“Pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan RM5,000 atau dua tahun penjara Akta Perikanan 1985 di bawah kaedah-kaedah Sungai Kelantan 1997.


Anuar berkata, untuk tahun ini sebanyak 500, 000 benih ikan bernilai RM 250,000 dilepaskan di sungai Kelantan bagi membantu meningkatkan hasil perikanan di negeri ini.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]