Jiran berjaya selamatkan rumah dari hangus terbakar

in Edisi Pahang by


FELDA PURUN – Tindakan pantas beberapa orang jiran berdekatan berjaya menyelamatkan sebuah rumah milik seorang peneroka, Mat Hussin Yusof, 59 daripada hangus terbakar dalam kejadian di sini, tengahari tadi.


Komander Operasi Kanan Zon 2 Pahang, Mohd Arshad Abdullah berkata, semasa kejadian, Mat Hussin berada di ruang tamu, sementara isterinya, Hamidah Mohd Said, 39 sedang memasak di dapur.


“Kebakaran dipercayai dari bilik tidur kedua, iaitu bilik tidur dua orang anak pasangan ini. Pada ketika itu, anak mereka yang berusia empat tahun berada di bilik berkenaan.


“Kejadian disedari oleh Hamidah, apabila terdengar bunyi seperti benda terbakar, dan melihat kepulan asap di dalam bilik itu,” katanya.


Mohd Arshad berkata, pasangan itu berlari keluar bersama anak, dan menjerit meminta bantuan jiran berdekatan, dan tindakan pantas jiran membantu mengawal kebakaran.


Katanya, semasa kehadiran anggota bomba di lokasi kejadian, api telah berjaya dikawal namun pihaknya meneruskan usaha memadam bara dan peralatan yang terbakar bagi memastikan api tidak merebak.


Difahamkan, kesemua perabot termasuk tilam, katil dan almari serta peralatan persekolahan anak-anak di bilik itu musnah.


Bagaimanapun, kebakaran itu tidak membabitkan kerosakan pada struktur rumah terbabit.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]