Kesal gambar kain rentang disalah guna

in Edisi Utara by


KUALA KEDAH – Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Kedah mempersoal kewujudan sebuah kain rentang mempromosikan program anjuran Pemuda Umno Kuala Kedah, yang digantung sekitar Kuala Kedah.


Ketuanya, Mohd Tahir Muslim berkata, pihaknya kesal apabila Umno menggunakan gambar konvoi Pemuda Pas bagi mempromosikan program anjuran parti berkenaan.


“Kami anggap ia suatu perbuatan tidak beretika, terdesak dan memalukan. Merujuk kepada kain rentang itu, ia adalah program Jom Tukar Minyak Enjin Motor Free anjuran Pemuda Umno Kuala Kedah yang turut tular di laman sosial,” katanya.


Menurutnya, pihaknya kesal kerana penganjur menggunakan gambar aktiviti konvoi motor Pemuda Pas sebagai latar belakang kain rentang berkenaan tanpa kebenaran.


“Sepatutnya penganjur menggunakan gambar ahli parti sendiri pada bahan promosi program parti. Tindakan menggunakan gambar aktiviti konvoi Pemuda Pas dikendalikan Alternative Riding Club (ARC), iaitu kelab bawah Pemuda Pas, adalah sangat tidak wajar dalam usaha meraih publisiti atau perhatian ramai,” katanya.


Mohd Tahir berkata, pihaknya bimbang wujud kekeliruan berhubung kain rentang itu, dan tampil memperjelas situasi sebenar.


“Kami turut nafikan penglibatan Pemuda Pas atau ARC atau apa sahaja entiti bawah Pas dalam penganjuran program tersebut. Kami menuntut Pemuda Umno Kuala Kedah mohon maaf atas insiden ini,” katanya.


Menurutnya, bagaimanapun, berlandaskan Budaya Politik Matang Sejahtera, pihaknya bersikap terbuka dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang meminati sukan permotoran untuk bekerjasama  dalam penganjuran program bagi manfaat peminat sukan.


“Kami bersedia berkongsi minat dan ilmu permotoran anjuran kelab ARC dan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana kelab motosikal,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]