Mengapa serangan Las Vegas bukan serangan pengganas?

in Global by


MENGAPA serangan Las Vegas tidak dilabel serangan pengganas? Adakah kerana penyerangnya bukan beragama Islam? Adakah kerana penyerangnya berkulit putih dan rakyat jati Amerika Syarikat?


Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggelar kejadian tersebut sebagai tindakan syaitan (act of evil) tetapi ramai pelayar laman sosial tertanya-tanya mengapa ia tidak dianggap serangan pengganas.


Persoalan yang sama timbul selepas seorang ekstremis berhaluan kiri menyerang latihan bola lisut melibatkan ahli kongres Republikan di Alexandria, Virginia pada Jun.


[ARTIKEL BERKAITAN: Gunman dead after shooting US politician]


Soalan sama hangat diperkatakan selepas seorang ahli kumpulan pelampau kulit putih (white supremacist) menggunakan kenderaan untuk melanggar penunjuk perasaan anti-racis di Charlottesville, Virginia, Ogos lalu.


[ARTIKEL BERKAITAN: Perarakan Charlottesville bertukar tragedi]


Bukankah sepatutnya kedua-dua kejadian di Virginia berkenaan dikategorikan sebagai perbuatan pengganas?


Ada sebab mengapa pihak berkuasa teragak-agak melabel serangan yang tersebut, termasuk serangan di Las Vegas 2 Oktober lalu sebagai serangan pengganas.


Undang-undang di AS menggariskan suatu serangan dikategorikan sebagai serangan pengganas (acts of terror) jika ianya dikaitkan dengan kumpulan yang dilabel sebagai kumpulan pengganas antarabangsa oleh kerajaan AS.


Menariknya, tiada satu pun undang-undang tersebut boleh digunakan jika ianya melibatkan aktiviti keganasan domestik, termasuk perbuatan yang diinspirasi atau dilakukan atas nama organisasi ekstremis domestik.


Ini bermakna, jika Stephen Paddock tidak membunuh diri selepas menembak mati 58 mangsa dan mencederakan 500 yang lain, beliau tetap tidak akan didakwa atas melakukan aktiviti keganasan di tanah airnya sendiri.


[ARTIKEL BERKAITAN:  Serangan Las Vegas: Siapa Stephen Paddock?]


Walaupun jika pihak berkuasa menemui bukti bahawa serangan Stephen bermotivasikan kebencian terhadap sesetengah kaum sekalipun, risiko Stephen berhadapan dakwaan undang-undang persekutuan masih rendah.


Yang pasti, tiada motif racis dalam serangan yang dilakukan Stephen kerana beliau menembak secara rambang terhadap ratusan orang awam.


Huffington Post melaporkan pada Ogos bahawa Jabatan Keadilan AS telah berbincang kemungkinan kongres untuk meluluskan satu undang-undang persekutuan melibatkan aktiviti keganasan domestik.


Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Christopher Wray akhir bulan lalu.


Yang pasti, jika undang-undang persekutuan tersebut diluluskan kongres, harapan pembunuhan beramai-ramai di Las Vegas berkenaan dilabel serangan pengganas adalah masih tipis.

 


Source: SH Global

[featured-video-plus]