Pelajar dipercayai diliwat rakan lelaki tiga kali

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU- Seorang pelajar lelaki tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di sini, berdepan detik ngeri apabila dipercayai diliwat oleh rakan lelakinya yang hanya dikenali beberapa bulan lalu.


Peristiwa malang menimpa mangsa, 13, yang dipercayai diliwat sebanyak tiga kali sepanjang tempoh perkenalan itu hanya diketahui bapanya selepas dimaklumkan oleh pihak sekolah sebelum membuat laporan polis, semalam.


Menurut sumber, bapa mangsa yang sebelum itu berada di tempat kerjanya di Kuala Nerus ada menerima panggilan telefon daripada salah seorang ahli keluarganya memaklumkan mangsa sedang ditahan oleh pihak sekolah kerana kesalahan ponteng sekolah, kira-kira jam 2 petang, semalam.


Jelasnya, sejurus menerima berita itu, bapa mangsa bergegas ke sekolah sebelum dimaklumkan oleh guru disiplin sekolah yang mangsa diliwat oleh seorang lelaki dikenali.


“Kemudian bapa mangsa terus membuat pemeriksaan ke atas tubuh badan anaknya sebelum mendapati ada beberapa kesan gigitan dipercayai dilakukan suspek.


“Mangsa turut membuat pengakuan diliwat sebanyak tiga kali oleh lelaki yang dikenali pada awal tahun ini,” katanya.


Sumber berkata, bapa mangsa seterusnya menyuruh mangsa menghubungi suspek dan berpura-pura hendak berjumpa dengan memberi alasan untuk berbincang.


“Tidak lama kemudian selepas dihubungi, suspek datang ke lokasi dijanjikan dengan menunggang motosikal sebelum bapa mangsa menangkapnya dan dibawa ke Balai Polis Bukit Payung untuk siasatan lanjut,” katanya.


Pagi tadi, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Ab Latiff  mengeluarkan tujuh hari perintah tahanan reman terhadap suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]