Pertimbang perkhidmatan feri sementara

in Uncategorized by


TELUK INTAN – Kerajaan Negeri Perak sedang mempertimbangkan untuk menyediakan perkhidmatan feri sebagai alternatif bagi kenderaan ringan menyeberangi Sungai Perak selepas Jambatan Sultan Yusof ditutup sehingga hujung tahun ini.


Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sehingga kini pihaknya masih berpegang kepada keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menutup jambatan berkenaan sehingga Disember ini.


“Setakat ini saya masih berpegang kepada keputusan menutup jambatan sehingga cukup tahun ini dan saya berharap tiada keputusan mengejut dilakukan oleh pihak terlibat.


“Jika ada sebarang keputusan untuk melanjutkan tempoh penutupan ia perlu dimaklumkan lebih awal untuk kerajaan negeri mencari alternatif lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan alat tulis kepada Calon PT3 dalam Dun Sungai Manik, pagi tadi.


Zainol Fadzi turut memaklumkan bawah kerajaan negeri juga dalam perbincangan mencari pelbagai alternatif bagi memudahkan pengguna jalan raya yang menghubungkan Teluk Intan dan Sitiawan.


“Sebenarnya kita di peringkat negeri pun tengah mencari alternatif lain, salah satu daripadanya adalah untuk cuba mencari feri bagi memudahkan pengguna menyeberangi Sungai Perak untuk ke Teluk Intan.


“Feri ini hanya akan membawa kenderaan ringan sahaja seperti kereta dan tidak dibenarkan kepada kenderaan berat,” katanya.


Tambahnya, sebelum kewujudan Jambatan Sultan Yusof, memang terdapat perkhidmatan feri membawa kenderaan ringan menyeberangi Sungai Perak untuk ke Teluk Intan satu masa dahulu.


“Tidak salah saya masa itu bayaran yang dikenakan RM5 setiap satu kenderaan dan kita akan cuba lihat bagaimana jika ia dilaksanakan nanti,” katanya.


Terdahulu, Jambatan Sultan Yusuf yang menghubungkan Teluk Intan/Sabak Bernam – Manjung/Sitiawan terpaksa ditutup sejak awal Ogos bagi kerja-kerja penyelenggaraan berikutan penemuan kecacatan serius yang boleh menjejaskan struktur dan keselamatan jambatan berkenaan.


Rentetan itu, Jalan Kampung Bahagia dan Kampung Gajah, sering berlaku kesesakan ekoran hanya laluan itu sahaja merupakan laluan alternatif menghubungkan Bagan Datuk dan Sabak Bernam, Selangor untuk ke Sitiawan dan Manjung selepas jambatan ditutup.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]