Rogol atlet: Polis ambil keterangan beberapa atlet

in Semasa by


IPOH – Polis telah mengambil keterangan beberapa atlet berhubung kes rogol membabitkan seorang atlet terjun wanita negara yang berlaku di Kompleks Majlis Sukan Negara, 26 September lalu.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bagaimanapun beliau tidak boleh menjelaskan secara terperinci mengenai jumlah atlet yang diambil keterangan kerana kes itu masih dalam siasatan.


“Sudah tentu itu adalah prosedur biasa yang kami perlu lakukan. Saya fikir, saya tak boleh komen dengan lebih lanjut pada waktu ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Perak di sini, hari ini.


Dua hari lepas, Polis Kuala Lumpur menahan seorang jurulatih pasukan terjun kebangsaan berusia 35 tahun di Sri Petaling selepas ibu bapa mangsa membuat aduan mengenai kejadian rogol ke atas anak mereka.


Jurulatih yang merupakan warga China dan bekas atlet Olimpik itu kini direman selama lima hari bermula 3 Oktober bagi membantu siasatan.


Mengulas mengenai Pingat Jasa Pahlawan Negara, Mohamad Fuzi berkata seramai 3,547 bekas anggota polis telah menerima anugerah itu sejak 2014.


Katanya anugerah itu bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh penerima dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan negara terutama di zaman penentangan komunis.


“Di Perak, seramai 255 menerima anugerah tersebut dan pada masa yang sama proses penganugerahan ini akan dijalankan di negeri-negeri lain dari semasa ke semasa,” katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kerana memberi sokongan bagi menjayakan majlis itu di Perak. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]