Sumbang dana SINAR4ROHINGYA dengan beli beruang Teddy

in Nasional by


SHAH ALAM – Persatuan Tadika Islam Malaysia (Pertim) berhasrat mengumpul dana sehingga RM50,000 dalam tempoh sebulan, melalui jualan patung beruang bagi menyumbang kepada tabung SINAR4ROHINGYA.  


Pengerusinya, Datuk Nahwari Hashim berkata, pendekatan Pertim adalah memupuk kesedaran untuk tolong-menolong dan saling bantu-membantu dalam kalangan orang Islam bermula dari usia kanak-kanak.


“Kita galakan generasi Islam paling bawah supaya mereka ditanamkan semangat ingin menolong dan mudah-mudahan ianya berterusan sampai bila-bila,” katanya ketika pelancaran Teddy for Rohingya di sini, semalam.


Majlis pelancaran tersebut disempurnakan Ketua Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed.


Menurutnya, Pertim memilih patung beruang sebagai subjek utama kerana ianya mudah dijual, menarik perhatian semua golongan, lebih-lebih lagi kanak-kanak.


“Tahun ini kami inginkan kelainan. Selalunya usaha mengumpul dana dijalankan dalam pelbagai bentuk, melalui jamuan makan malam, pungutan derma dan sebagainya.


“Pertim dianggotai lebih 5,000 lebih tadika seluruh Malaysia, jadi Inya-ALLAH sasaran RM50,000 mampu dicapai,” katanya.


Beliau memberitahu, kesedaran untuk membantu sesama Islam sentiasa menjadi keutamaan, malah usaha ini diharapkan boleh memupuk sikap suka menderma dalam kalangan kanak-kanak, dan prihatin dengan nasib yang berlaku pada masyakat sekeliling.  


“Kanak-kanak di tadika boleh mempengaruhi ibu bapa bukan sahaja untuk membeli, dalam masa sama turut menyumbang dana.


“Jadi secara automatik, anak juga telah motivasikan ibu bapa mereka untuk menderma,” katanya.


Pada majlis yang sama, kira-kira RM1,855 berjaya dikumpul melalui jualan patung beruang tersebut yang dibuat secara bidaan.


Kira-kira 200 patung beruang berjaya dijual sejak kelmarin.


Patung beruang itu ditawarkan dalam empat saiz, dengan harga bermula RM10, RM15, RM30, dan RM100.   


Mengulas lanjut, Setiausahanya, Siti Ruzita Ramli berkata, kempen Teddy for Rohingya ini akan disertai kebanyakan tadika Islam di Lembah Klang dan akan diperluas ke seluruh negara.


“Pada hujung minggu ini, jualan amal akan diadakan di Yayasan An-Nahdhoh Pulau Pinang.


“Kami juga gunakan kesempatan ini untuk menarik tadika menjadikan teddy bear ini sebagai hadiah sempena hari penyampaian hadiah pada akhir tahun nanti,” katanya.


Ruzita berkata,  dalam  menjayakan usaha berkenaan, Pertim juga dalam perancangan untuk mengatur kerjasama dengan agensi korporat, badan-badan tertentu sebagai rakan strategik.


Orang ramai yang berminat untuk membeli patung beruang ini boleh melawati laman Facebook https://www.facebook.com/pertim.ku.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]