Tunggu penyu datang bertelur

in Edisi Terengganu by


DUNGUN – Kakitangan Pusat Penyu dan Spesies Marin Terancam (Tumec), FRI Rantau Abang serta Pusat Penerangan Penyu Jabatan Perikanan Terengganu giat membuat rondaan di sekitar pantai Rantau Abang sehingga ke Jambu Bongkok bagi memantau kunjungan seekor penyu belimbing yang dijangka bertelur untuk kali ketiga.


Selepas tujuh tahun dikatakan merajuk apabila tiada langsung penyu belimbing datang bertelur di pusat peranginan itu, seekor penyu belimbing dianggarkan seberat 400 kilogram akhirnya mendarat dan mengeluarkan sebanyak 92 telur pada 9 September lalu.


Spesies sama mendarat kali kedua pada 20 September dan menghasilkan 32 telur, dan mengikut kitaran penyu belimbing itu akan datang bertelur untuk kali ketiga sekitar 28 September hingga 5 Oktober ini.


Bagaimanapun sehingga 4 Oktober, kelibat spesies dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Negeri Terengganu Undang-undang Penyu 1951 itu masih tidak kelihatan.


Pegawai Penyelidik Perikanan FRI Rantau Abang, Nazuki Sulong berkata, mengikut kebiasaan, seekor penyu belimbing betina akan bertelur tiga kali dalam tempoh sekali mendarat atau jarak 10 hari bagi setiap pendaratan seterusnya untuk bertelur.


“Penyu belimbing yang datang bertelur itu masih muda, dianggarkan dalam lingkungan 30 tahun. Ini bermakna generasi anak penyu belimbing yang dilepaskan dan berjaya hidup pada 1980-an. Selepas dua kali bertelur, dijangka penyu belimbing itu akan datang lagi untuk kali ketiga.


“Tujuan kita buat rondaan untuk melindungi penyu belimbing dan telur berkenaan daripada ancaman kepupusan. Pendaratan kali pertama penyu itu mengeluarkan 92 telur, tapi kali kedua hanya 32 biji ditemui. Kita tak tolak kemungkinan sebahagian telur ini telah diambil pihak tidak bertanggungjawab.


“28 September hingga 5 Oktober adalah dalam tempoh berjaga-jaga. Kakitangan Tumec buat rondaan bermula 9 malam hingga 8 pagi bagi menunggu ketibaan penyu belimbing itu,” katanya ketika memberi taklimat dalam Program Kesedaran Spesies Marin Terancam Bersama Komuniti Dun Rantau Abang, Ahad lalu.


Sementara itu, Pegawai Penyelidik Perikanan di Bahagian Penyelidikan Penyu dan Spesies Marin Terancam FRI Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, program kesedaran diadakan bertujuan mengajak masyarakat mempertahankan spesies marin khususnya penyu.


“Lebih 50 penduduk setempat, pelajar Sekolah Kebangsaan Kuala Abang dan Universiti Malaysia Terengganu menjayakan program ini. Pelbagai pendedahan berkaitan spesies terancam turut diberikan.


“Pengetahuan didedah penting supaya masyarakat khususnya generasi muda sedar untuk sama-sama memulihara khazanah hidupan marin. Sempena ini turut diadakan pelepasan anak penyu agar di perairan Rantau Abang sebagai simbolik kempen kesedaran,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]