Wang tunai dalam almari lesap

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BAHAU – Seorang peniaga kedai makan dan minuman tidak menyangka premisnya dipecah masuk sehingga menyebabkannya kerugian mencecah RM4,500, kelmarin.


Mangsa, Yau Yok Kim, 38, berkata, dia tiba di restorannya sekitar jam 9 pagi mendapati keadaan premis yang ditinggalkan tidak seperti kebiasaan.


Menurutnya, perasaan tidak sedap hatinya itu semakin kuat setelah melihat keadaan dalam kedai yang berselerakan.


“Pada mulanya saya dikejutkan dengan keadaan kaunter hadapan yang berselerakan dan lebih membimbangkan apabila pintu kabinet besi telah terbuka.


“Rasa tak sedap hati tu ternyata benar, bila saya sedari wang tunai berjumlah kira-kira RM4,500 telah lesap. Wang itu saya simpan dalam almari besi lesap.


“Saya bertanyakan kepada dua pekerja restoran, namun mereka mengakui tidak tahu menahu mengenai kejadian tersebut,” katanya.


Yok Kim berkata, selain kaunter berselerakan dia mendapati pintu besi di bahagian belakang premis terdapat kesan dipecah masuk.


“Saya buat laporan polis berhubung kejadian ini. Saya harap si pelaku dapat ditahan selain dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.


Sementara itu, Sinar Harian difahamkan anggota polis telah membuat siasatan di lokasi pada hari sama, manakala perilaku seorang lelaki yang mencurigakan turut berjaya dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup di premis berkenaan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]