Warga Thailand terlibat culik, curi kereta ditahan

in Semasa by


ALOR SETAR – Polis menahan seorang lelaki warga Thailand yang disyaki ada kaitan dengan kes melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun bersama kereta bapanya di sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri di Jitra, tiga hari lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan polis selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada 4.30 petang semalam.


“Lelaki ini yang telah memeluk Islam datang sendiri serah diri kepada polis selepas gambarnya viral dalam media sosial,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Dalam kejadian pada 7.45 pagi itu, bapa kanak-kanak tersebut yang berusia 33 tahun, berhenti seketika di stesen minyak berkenaan untuk ke tandas di belakang stesen minyak dengan meninggalkan anaknya itu di dalam kereta yang tidak berkunci serta enjin tidak dimatikan.


Bapa kanak-kanak itu menyedari kejadian berkenaan selepas keluar dari tandas kira-kira lima minit kemudian setelah melihat kereta jenis Honda Civic miliknya telah dilarikan namun berjaya mengesan anaknya itu semula selepas ternampak anak perempuannya itu sedang menangis kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.


Mior Farid berkata lelaki itu ditahan reman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan.


Beliau berkata kereta mangsa itu juga dapat diselamatkan polis dengan tangkapan tersebut.


Katanya polis juga kini sedang mengesan dua suspek lagi yang dipercayai turut terlibat dalam kes berkenaan. – Bernama

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]