Ban dibina JPS Selangor kukuh, stabil

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Ban yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor berdekatan jeti pengkalan nelayan Kampung Tok Muda, Kapar sepanjang kira-kira 3.5 kilometer (KM) didapati dalam keadaan kukuh dan stabil.


Pemangku Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Tok Muda, Abdul Halim Mokhlas berkata, terdahulu ban berkenaan rendah dan ia sudah dinaikkan lebih tinggi sekitar enam kaki selepas fenomena air pasang besar tahun lepas.


“Saya yakin ban ini kukuh ketika berhadapan fenomena air pasang besar yang dijadualkan meningkat kepada 5.5 meter esok (hari ini) berbanding hari ini (semalam) 5.4 meter.


“Jika dilihat ketinggian air yang diramalkan 5.5 meter, saya harap ia tidak mampu melepasi ban ini,” katanya ketika bersama Sinar Harian meninjau ban berkenaan petang ini.


Pada masa sama, beliau berkata, JKKKP juga bertanggungjawab memantau dan membantu sebarang bentuk keperluan yang membabitkan penduduk terlibat.


“Selain JKKK yang menguruskan keperluan penduduk di pusat pemindahan, kita turut bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat demi memastikan keselamatan penduduk dan kediaman mereka terjaga sepanjang fenomena air pasang besar yang diramal berakhir pada 9 Oktober ini,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]