Bazir duit rakyat

in Edisi Johor by


LABIS – Kuarters guru terbiar di Jalan Tenang-Labis dan Kampung Tenang, di sini, bukan sahaja menyakitkan pandangan mata, malah dilihat satu pembaziran kepada negara.


Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Sulaiman Mohd Nor berkata, adalah suatu yang tidak munasabah apabila bangunan yang dibina lebih daripada 10 tahun itu tidak digunakan.


“Kami berpandangan kerajaan tidak membuat kajian keperluan yang baik terlebih dahulu dan akibatnya bangunan ini terbiar begitu sahaja sedangkan ramai rakyat memerlukan rumah sendiri.


“Sudah jelas projek ini satu pembaziran terhadap duit rakyat dan dua projek ini menunjukkan kelemahan dalam perancangan serta pengurusan, seolah-olah projek diadakan hanya untuk menghabiskan duit yang ada,” katanya kepada Sinar Harian.


Sulaiman yang juga Penasihat Amanah Labis berkata, pihaknya memohon agar laporan audit dapat dibentangkan terhadap penggunaan bangunan tersebut dan punca kuarters guru itu terbiar perlu dikenal pasti.


“Kami sarankan kuarters-kuarters ini dapat diselenggarakan untuk disewa. Hasil sewaan itu mungkin boleh disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri atau pihak sekolah berdekatan yang amat memerlukan dana akibat potongan bajet daripada kerajaan,” katanya.


Tambahnya, kuarters tersebut juga sesuai dibina dengan gelanggang futsal atau badminton supaya dapat dimanfaatkan golongan belia dengan kegiatan berfaedah.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]