Berlari tanpa tangan kiri

in Uncategorized by


TANGGAL 12 Januari 2013 menjadi detik hitam dalam hidup seorang anak muda yang ketika itu baharu berusia 17 tahun apabila dia kehilangan tangan kiri selepas terlibat dalam kemalangan.


Masih segar dalam ingatan Muhamad Ashraf Muhammad Haisham, 21, ketika kejadian, dia bersama rakannya sedang menunggang motosikal di Lumut sebelum terbabas .


“Ketika itu, saya yang tunggang motosikal dan tiba-tiba kami terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.


“Rakan saya terhempap atas tangan kiri saya mengakibatkan tangan cedera teruk dan terpaksa dipotong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Gedung di sini.


Muhamad Ashraf berkata, akibat kejadian itu, dia merasakan masa depannya bakal gelap kerana cita-citanya untuk menjadi seorang atlet akan terkubur.


“Bila doktor cakap tangan saya harus dipotong, ketika itu fikiran saya kosong.


“Pada tahun itu juga saya bakal ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menjadi atlet sekolah serta mewakili negeri dalam olahraga.


“Cita-cita sebenar saya adalah mahu menjadi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan mahu menjadikannya sebagai platform untuk saya terus aktif dalam sukan,” katanya.


Katanya, selepas empat minggu, luka di tangannya semakin baik, namun kekecewaan yang dialami masih tidak pulih sepenuhnya.


“Saya malu nak jumpa orang ramai dan tak pergi ke sekolah disebabkan kurang keyakinan diri. Rakan-rakan memang ada melawat dan beri semangat, namun masih tidak mencukupi untuk membuatkan saya kembali kepada kehidupan biasa.


“Saya rasakan setiap orang memandang diri saya yang tak sempurna menyebabkan saya lebih rela berkurung di rumah.


“Ahli keluarga tak putus-putus beri semangat supaya saya kembali pulih,” katanya.


Muhamad Ashraf berkata, dengan bantuan kakaknya dia belajar sendiri untuk persiapan menghadapi SPM.


“Sebelum ini, saya menulis guna tangan kiri, tapi lepas kejadian itu saya terpaksa belajar menulis dengan tangan kanan.


“Saya hanya ke sekolah ketika SPM saja dan selepas itu barulah kehidupan saya mula berubah setelah mendengar nasihat daripada seorang guru sukan, Hazlisham Harun.


“Cikgu Hazlisham beri semangat dan dorongan kepada saya untuk meneruskan minat dalam sukan olahraga. Dia kata saya mampu mewakili negara walaupun keadaan tidak sempurna,” katanya.


Lebih bermotivasi bila masuk MSN


Setelah pulang ke rumah, Muhamad Ashraf menceritakan perkara itu kepada ahli keluarga dan kakaknya segera menghubungi pihak berkaitan bagi membantunya aktif semula dalam sukan.


“Kakak saya menghubungi pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan bertanya peluang yang boleh direbut untuk menjadi atlet para.


“Pada mulanya, pegawai di MSN minta saya menyertai pertandingan olahraga Sirkit I Perlis bagi melayakkan saya untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan olahraga dan saya mendapat tempat kedua lalu terpilih untuk berada di bawah MSN.


“Selepas itu, bermulalah latihan  kerana pada mulanya saya tak dapat menyeimbangkan badan ketika larian,” katanya.


Menurutnya, ketika di MSN dia menjadi lebih bermotivasi apabila melihat rakan senasib yang mampu mengharungi kehidupan tanpa ada rasa malu dan yakin.

Ibu serta ayah Muhmad Ashraf banyak memberi sokongan dan dorongan untuknya terus bangkit meraih kejayaan.


“Sejak itu, saya nekad berubah dan mahu mencipta kejayaan demi kejayaan dalam sukan olahraga ini.


 


“Pada mulanya saya mewakili Malaysia dalam Dubai Grand Prix Open di Dubai dalam acara 800 meter pada 2015 dan berjaya mendapat tempat keempat.


“Selepas itu, pada tahun sama saya masuk pula Grand Prix Beijing dalam acara 1,500 meter dan berjaya mendapat tempat kedua.


“Ketika ini, tahap motivasi saya semakin meningkat dan saya merasakan diri saya juga mampu berjaya seperti orang lain walaupun ada kekurangan diri,” katanya.


Muhamad Ashraf terus melakar kejayaan apabila dia mendapat pingat Emas dan Perak ketika sukan Para Asean di Singapura pada 2015 melalui acara 800 meter dan 1,500 meter.


“Saya teruskan langkah tanpa menoleh ke belakang lagi dan berusaha untuk melayakkan diri ke sukan Paralimpik apabila mengikuti Grand Prix Beijing pada tahun 2016, namun gagal kerana cedera.


“Saya tidak putus asa dan terus berlatih selepas pulih sepenuhnya. Pada April lalu, saya telah ke Dubai sekali lagi untuk mengejar kedudukan dunia dalam acara 800 meter dan saya mendapat tempat ketiga dalam kejohanan namun berada dalam kedudukan nombor 18 dunia,” katanya.


Kejayaan terbaharu Muhamad Ashraf apabila dia berjaya mendapat emas bagi acara 800 meter dan 1,500 meter selain memecah rekod kejohanan bagi acara itu dan mendapat Perak bagi acara 400 meter dalam sukan Para Asean ke-9, baru-baru ini.


Keluarga sentiasa beri sokongan


Muhamad Ashraf berkata, ahli keluarganya banyak memberi sokongan kepada dirinya supaya bangkit semula terutama ayahnya, Muhammad Haisham Aziz, 55, dan ibunya, Noreha Ismail, 52, selain adik-beradiknya.


“Ayah saya selalu mengingatkan saya untuk berlatih dan terus berlatih agar lebih berjaya selepas ini. Saya memang berhasrat untuk menyertai Paralimpik dan akan terus berusaha untuk mencapai impian itu.


“Bila menyertai kejohanan di negara luar secara tidak langsung saya menjadi bermotivasi kerana melihat atlet para di sana tiada sebarang perbezaan dengan atlet biasa dan itu juga yang berlaku di negara kita.


“Kami sama-sama berlatih dan saya melihat sebenarnya masyarakat kita sudah semakin terbuka menerima golongan orang kurang upaya (OKU) tanpa sebarang perbezaan dengan orang biasa lain,” kata anak ketiga dari tujuh beradik itu.


Muhamad Ashraf juga berpesan kepada mereka yang mempunyai kekurangan diri sepertinya supaya tidak malu dan segan untuk berhadapan dengan masyarakat.


“Kebiasaannya orang yang ada kekurangan diri akan lebih suka terperuk di rumah kerana itu yang saya alami dulu.


“Jangan lakukan perkara sama kerana kita juga boleh berjaya. Keluarlah dari ‘persembunyian’ bangkit kembali, serlahkan potensi diri yang ada kerana sebenarnya banyak peluang menanti ,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]