Curi minuman keras, bapa empat anak dijel

in Semasa by


PETALING JAYA – Bapa empat anak dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri pelbagai barangan antaranya tiga karton minuman keras di sebuah pasar raya, tiga hari lalu.


Majistret Salamiah Salleh menjatuhi hukuman itu terhadap seorang pekerja kilang, Mohamad Salleh Ikhwan Md Hanipah, 30, selepas dia mengaku bersalah mencuri tiga karton minuman keras, sebungkus lampin pakai buang dan tiga  bungkus kek ikan milik Pasaraya Tesco Mutiara Damansara, di sini, pada 11 malam, 3 Oktober lalu.


Ketika ditanya Salamiah alasan dia mencuri minuman keras tersebut, tertuduh berkata, dia ingin menjual untuk menanggung kos perubatan anaknya.


“Kamu  mencuri minuman keras kemudian mahu jual pula. Kamu tak perlu sebut mengenai anak kalau ini cara kamu nak tanggung keluarga,” kata Majistret itu dan  memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapnya pada 3 Oktober lepas.


Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.


Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menjaga empat orang anak, termasuk seorang yang sakit dan baru sahaja selesai menjalani pembedahan.- Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]