Keputusan perjanjian nuklear Iran minggu depan

in Global by


WASHINGTON – AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka membuat pengumuman penting berhubung perjanjian nuklear Iran pada minggu depan, lapor agensi berita China Xinhua.


Trump juga dijangka mengumumkan strategi AS ke atas Iran yang mana keputusan mengenai perjanjian nuklear dilihat menjadi agenda penting, kata seorang pegawai enggan dikenali.


Pada 15 Oktober, Trump dijadual bercakap di Kongres AS, jika beliau memutuskan menarik diri daripada perjanjian, ia boleh membuka jalan kepada penggubal undang-undang AS mewujudkan semula sekatan, sekaligus membawa kepada terbatalnya perjanjian.


Sejak sekian lama, Trump sering mengkritik perjanjian dicapai semasa era pentadbiran bekas Presiden Barack Obama.


Perjanjian nuklear itu dipersetujui pada Julai 2015 antara Iran dengan negara kuasa dunia iaitu Britain, China, Perancis, Rusia, AS serta Jerman.


Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bulan lepas, Trump menyifatkan perjanjian itu ‘memalukan’ dan memberikan bayangan mungkin tidak akan memperakui semula perjanjian itu pada pertengahan Oktober.


Sebelum ini, Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif, memberi amaran, Tehran hanya akan mematuhi peruntukan perjanjian nuklear berkenaan jika pihak lain tetap komited.


Perjanjian nuklear Iran atau secara rasmi dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), semua sekatan berkaitan nuklear yang dikenakan ke atas Iran ditarik balik jika negara itu terbukti mematuhi perjanjian dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


Awal bulan lepas, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, menyatakan Iran mematuhi peraturan yang ditetapkan di dalam perjanjian berkenaan.- Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]