Ketua JSJ Sarawak ketuai siasat kes bunuh

in Edisi Sabah Sarawak by


MIRI – Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes pembunuhan dua lelaki di Sibu petang semalam akan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar.


Pengarah JSJ dari Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, Dev kini sudah berada di Sibu bagi memulakan proses siasatan ke atas kes berkenaan bersama dengan pasukan petugas khas yang dibentuk.


“Setakat ini belum ada tangkapan dibuat berkaitan dengan kes itu,”katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Balai Polis Pusat Miri,  di sini hari ini.


Semalam dua lelaki berusia 47 dan 21 tahun ditembak mati di sebuah kedai makan di Lorong Pahlawan  di Sibu oleh seorang individu pukul 12.15 tengah hari.


Semalam, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal dalam kenyataan medianya  di Kuching  hanya mendedahkan umur mangsa iaitu 47 dan 21 tahun dan mereka merupakan ahli perniagaan tetapi nama  mangsa tidak dinyatakan.


Dalam perkembangan lain,Wan Ahmad Najmuddin berkata, JSJ kini sedang melakukan kajian untuk   mengkaji keperluan serta mengisi kekosongan jawatan detektif di seluruh negara.


Menurutnya, untuk jawatan detektif sebanyak 6,704 perjawatan diwujudkan untuk JSJ namun setakat ini diisi sebanyak 2,290 anggota sahaja.


Mengenai lawatan ke Balai Polis Pusat Miri, beliau yang pernah berkhidmat sebagai pegawai penyiasat  di Miri pada tahun 1980 hingga 1984 dan seterus di Baram, Marudi selama lapan bulan berkata, balai tersebut  perlu dinaik taraf infrastruktur dengan segera.


“Tiada perubahan berlaku dalam Balai Polis Pusat Miri sejak saya berpindah malah keadaan semakin sesak dan panas,” katanya sambil memberi jaminan akan cuba untuk membawa permasalahan ini untuk diselesaikan dengan segera. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]