Lebih perhatian di kawasan rendah

in Edisi Selangor KL by


JERAM – Kawasan ban yang rendah di Tambak Jawa di sini diberi pemantauan maksima bagi mengelakkan limpahan air laut akibat fenomena air pasang besar berulang sehingga menjejaskan penempatan penduduk.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Tambak Jawa, Salleh Saring berkata, kerja menambak ban giat dijalankan jabatan berkaitan dari Pantai Remis hingga Sungai Janggut.


“Saya tengok kerja menambak masih berjalan dan alhamdulillah mana-mana kawasan yang rosak dibaiki dengan baik. Jadi kemungkinan limpahan air laut boleh dibendung.


“Ban ini penting bagi menghalang limpahan air masuk ke kawasan kebun dan rumah penduduk. Lagipun kawasan ini, keadaan ban lebih rendah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Menurutnya, JKKP turut memantau keadaan air laut bermula petang semalam dan awal pagi hari ini bagi memastikan limpahan air laut tidak serius.


“Ini kerana kita difahamkan paras air pasang pada bulan ini diramalkan agak tinggi sehingga mencecah 5.5 meter bermula Jumaat (hari ini) sampai Isnin nanti, jadi kena berjaga-jagalah.


“Kalau cuaca okay dan panas, risiko limpahan air laut kurang sikit tapi kalau hujan lebat ditambah angin kuat, memang air laut akan melimpah melepasi ban,” katanya.


Salleh berkata, penduduk dinasihatkan lebih berwaspada dan menyimpan barangan di tempat lebih tinggi kerana tidak dapat menjangka musibah yang mungkin berlaku.


“Tapi saya harap fenomena air pasang kali ini tidak terlalu tinggi melepasi ban yang ada. Orang kampung pun kena bantu pantau di kawasan berisiko,” katanya.


Terdahulu, kerja menambak ban rendah dan bermasalah di daerah ini diteruskan bagi mengelakkan kawasan penempatan berhampiran pesisiran pantai dinaiki air menjelang air pasang besar pada bulan ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor menjelaskan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah giat melaksanakan kerja berkaitan.


Menurutnya, JPS Daerah Kuala Selangor mengepung sementara ban yang rosak di Tambak Jawa dengan tanah supaya air laut tidak melimpah masuk ke kawasan pertanian.


“JPS Daerah Kuala Selangor juga memohon peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM500,000 untuk kerja membaiki ban yang rosak di kawasan tersebut manakala ban di kawasan lain masih dalam keadaan baik dan sentiasa dipantau.


“Jadi apa yang penting, kita perlu bersedia sebarang kemungkinan yang akan berlaku dan pada masa sama, JPS memantau sistem perparitan dan benteng pesisir pantai supaya sentiasa di dalam keadaan baik,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]