Lima pusat pemindahan banjir dibuka

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Lima pusat pemindahan banjir dibuka di daerah ini bermula semalam sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar bermula hari ini hingga Isnin (6 hingga 9 Oktober) ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang,  Mohd Zainal Mohd Nor berkata, pusat pemindahan tersebut adalah di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang, Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Sementa, SRA Kampung Batu 4 Jalan Kapar, Dewan Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pelabuhan Klang.


“Bagaimanapun sehingga kini, hanya Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang yang beroperasi manakala yang selebihnya dalam proses bersiap siaga.


“Terdapat 40 keluarga dengan 111 mangsa yang telah mendaftar dan berpindah ke pusat pemindahan berkenaan sejak petang semalam,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.


Dalam pada itu, beliau yang juga Pegawai Daerah Klang berkata, berdasarkan tinjauan anggota Pusat Operasi Pengkalan Hadapan pagi tadi, air pasang didapati tidak melimpahi ban Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang sedia ada.


“Pada masa sama, semua agensi kerajaan terlibat bersiap sedia ekoran air pasang besar dijangka meningkat pagi esok daripada 5.4 hari ini kepada 5.5 esok,” katanya.


Terdahulu, Unit Pengurusan Bencana Selangor meramalkan lima kawasan di Klang berisiko banjir disebabkan fenomena air pasang besar ini.


Kawasan terlibat adalah Pengkalan Tok Muda, Batu 4 Jalan Kapar, Ban Sementa, Pelabuhan Klang dan Jalan Pandamaran-Banting.


Paras tertinggi direkodkan sedalam 5.5 meter dijangka berlaku pada 7 dan 8 Oktober diikuti 5.4 meter pada 6 dan 9 Oktober.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]