Murid prihatin hulur derma

in Nasional by


TEMERLOH – Sikap dermawan 70 murid Sekolah Kebangsaan Tekal di sini yang berjaya mengutip derma sebanyak RM500 untuk Tabung SINAR4ROHINGYA seharusnya dipuji dan dijadikan contoh terbaik buat rakyat Malaysia.


Wakil NGO Haluan Pahang, Abd Bashir Abd Ghani berkata, SK Tekal sebuah sekolah luar bandar dan terletak di pedalaman dan hanya mempunyai 70 murid tetapi berjaya mengutip derma sebanyak RM500 seharusnya mendapat pujian ramai.


Menurutnya, usaha dan kempen yang dijalankan sekolah itu sepatutnya dijadikan contoh oleh rakyat negara ini untuk membantu pelarian Rohingya yang kini bersesak di kem pelarian Cox Bazaar, Bangladesh dalam keadaan serba kekurangan.


“Sebuah sekolah yang muridnya hanya 70 orang, di pedalaman pun merasa simpati dengan nasib menimpa pelarian Rohingya sepatutnya menjadi ikutan rakyat negara ini,” katanya ditemui selepas pelancaran kutipan derma Tabung SINAR4ROHINGYA di Masjid Temerloh Jaya di sini baru-baru ini.


Abd Bashir berkata, kempen SINAR4ROHINGYA anjuran akhbar Sinar Harian bagi mengumpul dana membantu penderitaan etnik Muslim Rohingya peringkat Daerah Temerloh sudahpun bermula di Masjid Taman Temerloh Jaya.


Beliau berkata, kempen ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai isu sebenar yang berlaku kepada masyarakat Rohingya di Myanmar yang telah dizalimi oleh kerajaan dan mereka terpaksa melarikan diri ke sempadan negara di Bangladesh.


Menurutnya, pihak Masjid Taman Temerloh Jaya dengan kerjasama NGO Haluan Pahang telah mengambil inisiatif mengadakan program ceramah dan tayangan khas mengenai isu penderitaan Rohingya dan melancarkan tabung derma kecemasan bagi membantu mereka.


“Alhamdulillah dalam majlis ini sejumlah derma sebanyak RM 4,400 berjaya dikumpulkan melalui sumbangan ahli jemaah masjid dan orang ramai.


“Sumbangan derma sebanyak RM500 juga telah diterima daripada Guru Besar SK Tekal,  Zamri  Ghazali hasil kutipan dari murid dan guru seramai 70 orang,” katanya.


Abd Bashir berkata, kempen SINAR4ROHINGYA ini turut dibantu oleh pihak Haluan yang merupakan salah satu ahli Gabungan NGO Sekretariat SINAR4ROHINGYA bagi melaksanakan projek kebajikan di Bangladesh melalui peruntukan dana dari Tabung SINAR4ROHINGYA.


Katanya, pihak Haluan juga akan membantu menyampaikan maklumat dan informasi terkini isu Rohingya melalui ceramah dan tayangan khas dari sukarelawan mereka yang berpengalaman bertugas di lapangan di samping memungut derma dari orang ramai.


“Diharap dengan pelancaran kempen SINAR4ROHINGYA peringkat daerah Temerloh ini akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat di sini membantu Rohingya dan lebih ramai pihak yang tampil memberi bantuan melalui Tabung SINAR4ROHINGYA ini,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Masjid Taman Temerloh Jaya, Dr. Abdullah Ismail, pihaknya mengalu-alukan kempen membantu Rohingya melalui SINAR4ROHINGYA ini kerana dengan cara ini masyarakat lebih faham dan sedar kewajipan membantu saudara mereka Rohingya yang dizalimi dan menderita.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]