Nelayan trauma terlanggar boya

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Seorang nelayan mengalami trauma apabila bot dan pukatnya tersangkut pada boya yang dipasang di kawasan tambakan laut di Bayan Baru di sini.


Mohd Maidin Abdul Hamid, 63 berkata, dalam kejadian 23 Julai lalu, dia berseorangan keluar ke laut untuk menangkap ikan, kira-kira jam 1.30 pagi.


Menurutnya, ketika melalui kawasan tambakan tersebut, botnya terlanggar boya yang dipasang di kawasan tersebut kerana tiada lampu amaran diletakkan pada boya serta di kawasan tersebut.


“Saya kerugian kira-kira RM2,500 kerana terpaksa memotong beberapa pukat kerana tersangkut pada boya selain bot saya turut mengalami kerosakan kecil.


“Saya ada menuntut ganti rugi daripada pemaju namun hanya dibayar RM700,” katanya kepada media semalam.


Mohd Maidin berkata, dahulu di kawasan ini dia mampu menangkap pelbagai ikan seperti bawal dan senangin, tetapi sekarang tiada lagi. 


“Pendapatan juga terjejas, dahulu mampu meraih RM1,600 sebulan tetapi kini nak dapat RM600 pun susah,” katanya.


Sementara itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), SM Mohamed Idris berkata, pihaknya berharap agar kerajaan Pusat membuat keputusan tegas agar memberhentikan kesemua projek tambakan laut di negara ini.


Menurutnya, projek tambakan laut memberi lebih banyak impak negatif terutamanya kepada alam sekitar berbanding kesan positif lain.


Mohamed berkata, antara kawasan yang terjejas akibat projek tambakan laut adalah Tanjung Tokong; Sungai Gelugor; Batu Uban, Persiaran Gurney dan Queensbay.


“Masalah ini sedang berlaku, tidak perlu tunggu lagi. SAM berharap agar kerajaan Pusat membuat ketetapan agar kesemua projek tambakan bukan hanya di Pulau Pinang malah di negeri lain supaya diberhentikan. Di Pulau Pinang, kira-kira 4,000 nelayan terjejas dengan beberapa projek tambakan yang sedang dan akan dilaksanakan.


“Ancaman ke atas alam sekitar dan kehidupan laut yang lebih buruk mungkin akan jika kerajaan negeri meneruskan rancangan projek tambak laut di Pulau Pinang Selatan (PSR) yang melibatkan pembinaan tiga buah pulau buatan manusia dengan keluasan 4,500 ekar,” katanya.


Menurutnya, laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) bagi projek PSR tersebut menyatakan seramai 2,757 nelayan berlesen beroperasi di zon impak projek pada 2015.  


Sementara itu, harga borong ikan di kawasan terbabit (tahun yang sama), dianggarkan bernilai RM42.09 juta iaitu menyumbang kepada 12.4.peratus daripada keseluruhan nilai harga borong di Pulau Pinang.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]