Penduduk harap ban tak pecah ketika air pasang besar

in Edisi by


KUALA SELANGOR – Pusat pemindahan di lapan lokasi yang dikenal pasti dalam keadaan siap sedia bagi berdepan sebarang kemungkinan musibah banjir sepanjang fenomena air pasang bermula semalam sehingga Isnin nanti.


Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor menjelaskan, semua pusat pemindahan mangsa banjir dalam mode ‘standby’.


Menurutnya, lapan pusat pemindahan banjir juga dibuka sebagai persediaan awal iaitu Masjid An Naim Tambak Jawa, Surau Hamidiah Sungai Sembilang, Dewan Orang Ramai Jeram, Dewan Orang Ramai Sungai Buloh.


“Satu pusat penempatan dibuka bagi mukim Api-Api iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Assam Jawa dan bagi mukim Ujong Permatang, pusat pemindahan dibuka di SJKC Khai Tee Pasir Penambang dan Masjid At Taqwa Sungai Yu.


“Manakala mukim Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang di Sungai Kajang manakala Bilik Gerakan Bencana Daerah Kuala Selangor dibuka di tempat sama,” katanya.


Shamsul Shahril Badliza yang juga Pegawai Daerah Kuala Selangor turut memaklumkan, laporan yang diperolehi memaklumkan bahawa keadaan masih terkawal dengan cuaca baik.


“Setakat ini, masih belum ada rekod penduduk dipindahkan dan semua agensi keselamatan diarahkan berada dalam keadaan siap sedia dan boleh digerakkan serta merta jika berlaku musibah banjir.


“Semua agensi termasuk bomba, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diarahkan bersedia sepanjang tempoh air pasang sehingga diramalkan berakhir Isnin ini.


“Notis pemberitahuan juga dikeluarkan sebagai peringatan kepada penduduk yang mendiami kawasan berisiko tinggi,” katanya ketika diminta mengulas status terkini fenomena air pasang di daerah ini.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]