Rindu senyuman Almarhumah

in Uncategorized by


BUKIT CHANDAN – Adun Bukit Chandan, Maslin Sham Razman mengakui rakyat Kuala Kangsar sangat terkesan dengan pemergian Almarhumah Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.


Menurutnya, Almarhumah sangat rapat dengan rakyat Bandar Diraja Perak itu malah setiap kali mereka bertemu, pasti Tuanku tidak akan terlepas bertanyakan perihal perkembangan Kuala Kangsar.


Tambah Maslin Sham, rakyat pasti tidak boleh melupakan jasa dan sumbangan Almarhumah ketika turun padang dan membantu penduduk dilanda musibah banjir.


“Pemergian Tuanku satu kehilangan yang besar khususnya kepada Kerabat Diraja dan negeri Perak. Tuanku bersama-sama dengan Pandu Puteri membantu secara langsung semasa banjir.


“Itu adalah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan terutamanya kepada mangsa banjir seramai 3,500 orang yang terpaksa dipindahkan pada waktu itu.


“Tuanku kerap kali ketika berjumpa, sentiasa bertanya khabar tentang rakyat, tentang kawasan di mana Kuala Kangsar ini memang begitu dekat di hati baginda,” katanya.


Beliau ditemui ketika menghadiri upacara pengebumian baginda di Makam Diraja Kuala Kangsar di sini, kelmarin.


Tambah Maslin Sham, kali terakhir beliau bertemu Almarhumah adalah pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Ipoh, baru-baru ini.


“Kalau bertembung, Tuanku sentiasa berhenti dan tanya khabar. Tuanku juga ingin membawa pendekatan Pandu Puteri itu ke Kuala Kangsar.


“Tuanku sentiasa cuba membantu Kuala Kangsar, jadi memang rasa kehilangan besar untuk kita. Sudah pasti selepas ini rakyat akan rindukan senyuman manis Tuanku,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]