Satu lagi waran tangkap untuk Yingluck

in Global by


BANGKOK – THAILAND. Bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dikenakan satu lagi waran tangkap kerana gagal menggunakan pusat pemeriksaan rasmi imigresen semasa ke luar negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Thailand Jen Srivara Rangsibrahmanakul.


Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok pada Rabu.


“Waran tangkap itu adalah atas kegagalannya menggunakan pusat pemeriksaan rasmi imigresen untuk ke luar negara,” katanya kepada media sambil menjelaskan bahawa ini merupakan waran tangkap ketiga yang dikeluarkan terhadap Yingluck sejak Ogos.


Waran tangkap pertama dikeluarkan terhadap bekas perdana menteri itu apabila beliau gagal hadir di Mahkamah Agung pada 25 Ogos ketika suatu keputusan utama ditetapkan, sementara waran kedua turut dikeluarkan atas kegagalan hadir di mahkamah sama pada 27 September.


Mahkamah Agung telah sejak itu menjatuhkan hukuman semasa ketiadaan Yingluck, lima tahun penjara kerana melakukan kecuaian dalam skim subsidi beras yang dilaksanakan semasa pentadbirannya.


Yingluck tidak kelihatan di khalayak ramai atau mengeluarkan sebarang kenyataan sejak gagal hadir di mahkamah pada 25 Ogos.


Sehari selepas hukuman terhadapnya dijatuhkan, Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha mengesahkan bahawa adik bekas  Perdana Menteri Thaksin Shinawatra itu telah melarikan diri ke Dubai,  Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dia memiliki sebuah rumah di Dubai.


Sejak pengumuman Prayut itu, Yingluck, menurut sumber dan disahkan oleh kerajaan telah meninggalkan Dubai untuk ke United Kingdom (UK).


Sementara itu Pemangku Jurucakap Parti Pheu Thai, Anusorn Iamsa-ard menafikan mengetahui akan perancangan Yingluck untuk mendapatkan perlindungan di UK.


Beliau juga menolak khabar angin di media tempatan yang mendakwa Yingluck mungkin sedang berusaha membentuk sebuah kerajaan semasa dalam buangann dengan berkata Pheu Thai mahukan negara ini dalam keadaan aman, bersatu dan bergerak ke hadapan.


Pemangku Setiausaha Agung parti, Phumtham Wechayacha turut membuat catatan di Facebook menafikan sebarang pengetahuan mengenai cubaan membentuk kerajaan semasa dalam buangan oleh Yingluck, dan perancangannya mendapatkan perlindungan di UK.- Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]