Selangor buka Pulapes untuk semua PBT

in Nasional by


KUALA LANGAT – Kerajaan Selangor komited dalam meningkatkan kemahiran anggota penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dalam kursus latihan di Pusat Latihan Penguatkuasa Selangor (Pulapes), Jugra.


Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pengurusan), Datuk Mazlan Md Noor berkata, beliau menggalakkan PBT di seluruh negara dapat turut serta dalam kursus yang dikendalikan oleh Pulapes di mana ia merupakan satu-satunya pusat latihan penguatkuasa yang terdapat di Malaysia.


Menurutnya, pihaknya bercadang mempromosikan modul-modul yang lengkap serta tenaga kepakaran yang disediakan di Pulapes ke semua seluruh PBT dalam negara dalam usaha melahirkan anggota penguatkuasa PBT yang cemerlang.


“Dengan pelbagai kejadian melibatkan penguatkuasa kita, saya yakin mereka diajar untuk memberi contoh kepimpinan yang baik sepanjang menjalankan tugas sekaligus pujian harus diberikan kepada anggota penguatkuasa MPSJ yang bertindak tenang dalam berdepan situasi orang awam yang melakukan provokasi yang tular di media sosial baru-baru ini.


“Saya fikir tindakan itu perlu dicontohi dan sememangnya anggota penguatkuasa perlu bersikap tenang bila berdepan dengan situasi sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Asas Penguatkuasa PBT Selangor di Pulapes, semalam.


Komandan Pulapes, Muhamad Osman berkata, Pulapes sebenarnya berjaya melahirkan ramai anggota penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, sejak 14 tahun lalu.


Menurutnya, dengan modul lengkap serta tenaga kepakaran dimiliki, kursus latihan disediakan Pulapes mampu memenuhi keperluan anggota penguatkusa PBT di negeri itu.


“Pulapes telah membantu melahirkan ramai anggota penguatkuasa PBT Selangor  dan juga pihak lain yang mengikuti kursus latihan di sini.


“Hari ini seramai 39 pembantu penguatkuasa PBT dari seluruh Selangor mengikuti kursus latihan asas siri kedua dalam tempoh tiga bulan bermula Julai hingga September lalu,” katanya.


Muhamad berkata, Pulapes mengendalikan kursus latihan sebanyak dua kali setahun di mana kursus latihan siri pertama pada Mac hingga Mei disertai 60 peserta.


Katanya lagi, pembantu penguatkuasa yang sudah menamatkan latihan di pusat itu diharap dapat menjalankan tugas dan berkhidmat dengan baik apabila kembali ke PBT masing-masing.


“Dengan itu, mereka dapat meningkatkan imej PBT di mata masyarakat yang sentiasa menagih perkhidmatan berkualiti,” katanya.


Sementara itu, Penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik, Mejar (B) Mohd Hairul Nizam Salim, berkata, beliau gembira apabila terpilih menerima anugerah keseluruhan terbaik sekaligus membawa nama baik Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).


Beliau yang merupakan Penolong Penguatkuasa MDKL, baharu tiga tahun berkhidmat di MDKL mengakui tugas anggota penguatkuasa antara tugas yang memerlukan kesabaran walaupun sentiasa berdepan dengan karenah orang awam.


“Bagaimanapun, amanah yang diberikan, perlu digalas sebaiknya sekaligus menjadi ikon yang menjaga imej penguatkuasa PBT.


“Saya pun tak sangka bila nama saya dipilih untuk mendapat anugerah berkenaan dan berharap dapat bekerja dengan semangat yang tinggi selamat menjaani kursus di sini,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]