Syarikat China berhasrat mohon sijil halal

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Beberapa syarikat berpangkalan di China berhasrat mendapatkan khidmat Johor untuk membantu mereka dalam permohonan pensijilan halal Malaysia.


Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata, dengan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, syarikat berkenaan​​​​​​​berpeluang menembusi pasaran halal antarabangsa terutama​ ​​​​​​ke negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).


Beliau berkata, sijil halal Malaysia tersebut mempunyai piawaian halal yang diperakui di seluruh dunia terutama di 56 negara OIC.


“Justeru itu, syarikat ini boleh menjadikan Malaysia, terutama Johor sebagai platform untuk mereka menembusi pasaran-pasaran ini,” katanya.


Beliau berkata demikiana kepada pemberita selepas merasmikan ‘Pocket Talk Iskandar Halal​​​​​​​ Park’ sempena Expo Pembangunan Johor Berkemajuan di Kota Iskandar di sini, hari ini.


Minat daripada syarikat berkenaan adalah susulan misi perdagangan diketuai anggota exco itu, pada​​​​​​​Ogos lepas, ke wilayah  Xinjiang dan wilayah  Gansu.


Kedua-dua wilayah itu mempunyai jumlah penduduk Islam yang ramai serta barangan halal yang boleh diperluaskan pasarannya di China serta rantau antarabangsa lain.


Buat masa ini, Siew Kiong berkata usaha membantu syarikat China itu akan dilaksanakan menerusi anak syarikat berkaitan kerajaan negeri, PIJ Holdings yang telah dilantik Jakim bagi menguruskan permohonan pensijilan halal di Johor.


Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berharap lebih banyak usahawan dan pedagang produk halal di Johor memperluaskan perniagaan mereka ke pasaran global, yang dianggarkan bernilai US$2.1 bilion.-Bernama


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]