Tidak perlu guna alasan agama

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Dewan Himpunan Pas Penyokong (DHPP) Terengganu menyokong penuh kenyataan DHPP Pusat berhubung dengan penganjuran pesta arak, Better Beer Festival 2017 yang menimbulkan kontroversi di negara ini.


Pengerusinya, Dr B Chandran berkata, mana-mana pihak tidak perlu menggunakan alasan agama untuk membenarkan pesta arak sambil memberitahu bahawa majlis agama Hindu sebelum ini turut bersetuju dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tidak meluluskan penganjuran tersebut.


Apatah lagi katanya, dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini dengan jumlah peratusan penduduk Islam melebihi separuh, semua pihak seharusnya menghormati pihak terlibat sebagai satu larangan dalam Islam.


“Hak untuk minum itu hak mereka, kita tidak mahu masuk campur tetapi apabila menjadikannya satu pesta, di mana 63 peratus itu adalah orang Islam, kita mesti hormati (hak orang Islam),” katanya kepada Sinar Harian, di sini.


Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak khususnya ahli-ahli politik tidak cuba membangkitkan persepsi buruk kononnya Pas sebagai satu-satunya pihak atau parti bermasalah kerana menghalang penganjuran tersebut.


Jelasnya, perbuatan meminum minuman keras secara umumnya diketahui ramai pihak sebagai tindakan yang bukan hanya menjejaskan kesihatan, malah memberi kemudaratan kepada orang lain.


“Dalam agama mana-mana pun tidak ada sokongan terhadap perbuatan meminum arak. Arak itu bukan sahaja membawa kemudaratan tetapi menghancurkan keharmonian negara,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]