Tiga kali tak sambut kelahiran anak

in Edisi by


KEPALA BATAS – “Walaupun tiga kali anak lahir saya tak sempat berada di samping isteri, tapi saya bangga dapat berkorban demi negara tercinta,” Luah pesara tentera yang juga bekas komando ketika menceritakan pengalamannya sewaktu berkhidmat dalam perkhidmatan tentera. 


Rahmad Mohd Isa, 72, berkata, walaupun sudah lama meninggalkan dunia ketenteraan, namun segala kenangan sepanjang perkhidmatan tidak pernah dilupakannya.


“Banyak suka duka. Nak cerita semua pun tak habis,” katanya. 


Menurutnya, walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga, namun tidak ada sekelumit pun perasaan kesal di hatinya.


“Bertugas sebagai komando banyak ajar saya erti kehidupan. Saya tak kesal tapi saya bangga dapat berkorban jiwa raga demi negara tercinta. 


“Alhamdulillah sepanjang bertugas, saya sentiasa dilindungi ALLAH. Tak pernah cedera walaupun ketika itu negara berdepan ancaman pengganas komunis,” katanya. 


Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam siri lawatan Persatuan Kebajikan Veteran Jurutera Komando dan Para (PKVJKP) di Kepala Batas.


Rahmad yang juga Pengerusi PKVJP berkata, biarpun sudah lama meninggalkan dunia ketenteraan, namun hubungan antara bekas anggota sentiasa diingati dan kekal sehingga ke hari ini.


Katanya, dalam siri lawatan itu, mereka menziarahi beberapa rumah bekas anggota Jurutera Komando yang mana ada di antara ahli keluarga mereka ditimpa musibah. 


“Kami turut lawat balu jurutera komando yang pernah bertugas suatu ketika dahulu.


“Alhamdulillah sebelum ini pun dah beberapa kali program diadakan dan ini semua dapat eratkan hubungan sesama kami,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]