Tukang paip terlantar sakit

in Edisi by


PASIR MAS – Seorang lelaki yang sebelum ini bekerja sebagai tukang paip hanya mampu menghabiskan masa dengan terlantar di atas katil selepas terbabit dalam kemalangan ketika menghantar anak ke sekolah, Februari lalu.


Kemalangan itu menyebabkan Ismail Mahari, 49, lumpuh serta hilang upaya bekerja dan terpaksa dijaga sepenuhnya oleh isteri, Hamidah Deraman, 42.


Hamidah berkata, sejak suaminya ditimpa kemalangan, dia dan keluarga bergantung hidup kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 serta sumbangan adik-beradik.


“Bagaimanapun ia masih belum mencukupi kerana terpaksa menanggung lima anak yang bersekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol, Taman Sri Jias, Pengkalan Batu di sini.


Menurutnya, setiap bulan saya memerlukan hampir RM1,000 untuk menampung keperluan harian.


Katanya, perbelanjaan itu merangkumi belanja harian, persekolahan anak-anak dan membeli lampin pakai buang serta susu khas untuk suami.


Hamidah berkata, selain itu, dia memerlukan wang tunai RM1,200 untuk menampung kos pembedahan memasukkan semula tempurung kepala suaminya yang dijalankan pada 5 Disember ini.


“Saya berharap orang ramai dapat membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung kami ketika ini.


“Saya tidak dapat keluar bekerja kerana suami memerlukan penjagaan rapi.


“Jadi saya terpaksa melupakan hasrat tersebut untuk membantu keluarga,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]