21 tahun memandu tanpa lesen

in Edisi by


KOTA BHARU – Memandu dalam keadaan lesen memandu tamat tempoh!


Itu tindakan berani seorang wanita yang ditahan dalam pemeriksaan Ops Bersepadu Trafik di sini malam kelmarin.


Apa yang lebih mengejutkan, lesen memandunya telah tamat tempoh sejak 1996 dan sudah lebih 21 tahun tidak diperbaharui.  


Wanita berkenaan ditahan ketika pemeriksaan sekatan jalan raya dijalankan di Salor-Tunjong kira-kira jam 11 malam. 


Alasan yang diberikan wanita itu, dia hanya memandu kereta milik keluarganya yang turut menawarkan khidmat prebet sapu.  


Akibatnya, keretanya kemudiannya ditahan untuk tindakan susulan selepas gagal mengemukakan lesen yang sah.  Dalam operasi yang bermula kira-kira jam 10 sehingga jam 5 pagi itu, lima lokasi menjadi tumpuan termasuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Melor, Tunjong, Jalan Tok Guru dan Lundang. 


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Markandan berkata, dengan kekuatan 99 penguatkuasa bersama 91 anggota dan lapan pegawai IPK, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah dan Jabatan Alam Sekitar, pihaknya turut menahan enam lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun.  Mereka ditahan di bawah Seksyen 108(3)(e)APJ 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu. 


“Kita turut menahan dua lelaki berumur 23 dan 25 dan turut merampas dua plastik cerah berisi cecair disyaki dadah. Turut dijumpai sebotol plastik juga dipercayai dadah dalam pemeriksaan di Melor.  


“Turut disita, empat kenderaan dan 12 motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan di samping mengeluarkan 119 keping saman juga atas pelbagai kesalahan,” katanya.  Markandan berkata, Jabatan Alam Sekitar turut mengeluarkan lapan notis saman di atas kesalahan melepaskan asap berlebihan melalui ekzos.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]