75 peratus tiada RM1,000 untuk kecemasan

in Nasional by


LEBIH 75 peratus rakyat Malaysia didapati tiada wang simpanan sebanyak RM1,000 untuk digunakan ketika kecemasan.


Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya 32 peratus rakyat Malaysia hanya mampu menampung perbelanjaan untuk tempoh seminggu sekiranya mereka hilang punca pencarian.


Demikian kajian dibuat Institut Kewangan Asia pada 2015. Kenyataan itu dibuat oleh Timbalan Gabenor Bank Negara, Abdul Rasheed Ghaffour pada Persidangan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) 2017, baru-baru ini.


“Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada kalangan generasi baharu. Mereka terlalu ingin menikmati gaya hidup digital terkini,” katanya seperti dipetik dalam Sin Chew Daily.


Menurut Abdul Rasheed lagi, kajian turut menunjukkan 38 peratus golongan muda bergantung kepada pinjaman peribadi untuk menjalani kehidupan mereka, manakala 47 peratus terlibat dalam pinjaman kad kredit.


Beliau berkata, jumlah penipuan kewangan turut dilaporkan meningkat kepada 1,883 kes antara 2015 hingga suku pertama 2017, membabitkan kerugian sebanyak RM379 juta.


“Rekod yang diberikan oleh polis ini menunjukkan ramai orang menjadi mangsa penipuan disebabkan mempunyai perasaan tamak,” katanya.


Menurutnya, hanya kira-kira 40 peratus rakyat negara ini mempunyai kedudukan kewangan kukuh untuk bersara, sementara selebihnya mengakui masih belum mempunyai perancangan rapi.


“Bagi golongan yang tiada kesedaran pentingnya simpanan yang cukup untuk persaraan pastinya akan menghadapi cabaran lebih besar selepas bersara kelak,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]