'Ambil tindakan sewajarnya lindungi mangsa'

in Semasa by


TEMERLOH – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kanak-kanak berusia 10 tahun yang ditemui dirantai bapa pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota, Kuantan, kelmarin.


Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya kesal dan memandang serius kejadian itu, serta mempertimbangkan untuk mendapatkan perintah jagaan sementara selepas mangsa menjalani rawatan di hospital.


Menurutnya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan melakukan pemantauan menyeluruh termasuk terhadap adik-beradik mangsa yang lain bagi memastikan mereka berada dalam keadaan baik.


“Ia tidak sepatutnya berlaku walaupun anak itu nakal atau di luar kawalan.


“Sekarang mangsa di hospital, jadi kita serahkan dahulu kepada pihak hospital dan polis.


“Selepas itu, kita akan buat keputusan apabila kes ini dirujuk ke JKM,” katanya di sini, semalam.


Rohani berkata, JKM akan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan kanak-kanak terbabit mendapat pembelaan sewajarnya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]