Buka gedung terbesar di Johor

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – IKEA Malaysia bakal membuka gedung pertamanya di selatan tanah air, IKEA Tebrau pada bulan depan.


Pengarah Runcit IKEA Asia Tenggara, Mike King berkata, ia merupakan gedung terbesar IKEA di Asia Tenggara yang terletak di Jalan Desa Tebrau, di sini.


Menurutnya, IKEA Tebrau merupakan gedung ketiga di negara ini selepas IKEA Damansara dan IKEA Cheras.


“Gedung ini berada di landasan untuk mengalu-alukan kunjungan pelanggan pada November ini.


“Kami tidak sabar untuk membuka pintu kami kepada orang ramai di selatan tanah air. Kami bersedia untuk memberikan hari terhebat buat seisi keluarga,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas sesi media previu di IKEA Tebrau, di sini, kelmarin.


King berkata, dengan pembukaan IKEA Tebrau, lebih 1.8 juta orang boleh mendapatkan ribuan rangkaian produk kelengkapan rumah pada harga berpatutan.


“Kami berharap dapat memberi perkhidmatan kepada warga Johor dan lain-lain. Kewujudan kami di tempat lain di semenanjung mencerminkan visi kami untuk melahirkan kehidupan lebih baik kepada lebih ramai rakyat Malaysia.


“IKEA Tebrau signifikan dengan cita-cita kami untuk lebih berkembang di Asia Tenggara,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Gedung IKEA Tebrau, Annie Chandler berkata, pihaknya kini di fasa akhir sebelum pembukaan gedung ini.


“Ini melibatkan kelengkapan dalaman, persediaan operasi, perancangan barangan dan latihan pekerja.


“Sejak tahun lepas, kami sudah merekrut lebih 300 pekerja untuk IKEA Tebrau. Bersama-sama, kami sudah bersedia untuk menyantuni orang ramai di selatan tanah air dengan menyediakan pengalaman unik gedung IKEA,” katanya.


IKEA Tebrau menjangkau keluasan 502,815 kaki persegi dan mempunyai ciri-ciri lestari pada teras operasinya.


Ia bakal dilengkapi dengan panel solar yang akan menterjemahkan pengurangan lebih 45 peratus penggunaan elektrik.


Gedung terletak 20 minit dari pusat bandar itu dibina selaras dengan pematuhan piawaian Indeks Bangunan Hijau (GBI).


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]