Daesh: Pensyarah IPTA pula ditahan

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Pensyarah di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) antara lapan suspek yang dicekup kerana mempunyai kaitan dan hubungan dengan anggota kumpulan pengganas Daesh di luar negara.


Tangkapan dan serbuan ini dijalankan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman bermula 27 September lalu di Sabah, Selangor dan Perak.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, dalam tangkapan pertama, lima lelaki ditahan di Sandakan, Sabah yang terdiri daripada dua rakyat tempatan, seorang rakyat Filipina yang memegang status pemastautin tetap (PR) Malaysia dan dua warga Filipina berjaya ditahan.


Menurutnya, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 53 tahun ini disyaki terlibat dalam aktiviti membantu penyusupan masuk anasir-anasir pengganas Abu Sayyaf Group (ASG) ke Malaysia melalui Sabah.


“Operasi ini adalah susulan tangkapan tujuh anasiar ASG pada 14 September lalu di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Susulan itu, pada Ahad lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang pensyarah warga Albania berusia 35 tahun di Selangor.


Mohamad Fuzi berkata, dipercayai pensyarah undangan ini mempunyai hubungan dengan anggota kumpulan pengganas Daesh di luar negara.


Kemudian, semalam, dua lagi suspek yang merupakan bekas banduan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) berjaya ditahan.


“Semakan dapati suspek ini pernah ditangkapan pada 7 Februari 2013 kerana terlibat dalam aktiviti keganasan dan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun,” katanya.


Tambah beliau lagi, suspek pertama berusia 53 tahun sebelum ini pernah menjalani perintah tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 selama tujuh tahun. Suspek ini dipercayai merekrut banduan di penjara Tapah untuk menganggotai kumpulan pengganas dan merancang untuk melancarkan serangan ke atas rumah ibadat orang Islam, Kristian dan Hindu bagi mencetuskan konflik antara kaum serta agama di Malaysia


Katanya, suspek ini juga disyaki melindungi maklumat mengenai salah seorang anggota Tandzim Al-Qaeda Malaysia (TAQM) yang dikehendaki polis.


“Manakala seorang lagi suspek berusia 37 tahun bersama dengan suspek pertama ini juga disyaki merekrut dua rakyat Malaysia untuk menganggotai kumpulan TAQM,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]