Dipenjara sehari, denda RM3,000 curi barang pasar raya

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 kerana mencuri pelbagai barangan bernilai RM591.30 di Pasaraya Aeon Ayer Keroh, di sini, bulan lalu.


Mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Siti Khadijah Mohd. Zainurin, 27, yang membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Norina Maludin.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri pelbagai barangan antaranya tuala dapur, seluar Cheetah, Vaseline 400 mililiter, coklat M&M, coklat Cadbury dan permainan kanak-kanak dengan jumlah keseluruhan RM591.30 milik pasar raya Aeon Jaya Jusco Ayer Keroh pada jam 1 petang, 3 September lalu.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


 Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh.


Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Norina menjatuhkan hukuman penjara sehari dari tarikh jatuh hukum dan denda RM3,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]