Empat cedera, van pelancong dirempuh

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Tiga penumpang sebuah van pelancong dan pemandunya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 254.8 Lebuhraya Plus arah Selatan di sini hari ini.


Kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu berlaku selepas van yang membawa 12 penumpang warga Indonesia dipercayai dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.


Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Pegawai Bomba Kanan 2, Mohammad Efeendy Rahmad berkata, bomba bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan dan sampai jam 3.09 petang.


“Sebuah jentera dengan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) beserta sembilan pegawai dan anggota diarah ke lokasi bagi operasi menyelamat.

Keadaan Toyota Hilux.


“Sebaik sampai, bas itu berada dalam keadaan terbalik di lorong paling kiri jalan dan bomba telah membantu mengeluarkan mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun,” katanya.


Menurutnya, kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.


Beliau berkata, pemandu dan penumpang Toyota Hilux selamat dan tidak mengalami kecederaan 


“Kita menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya.


 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]