Etika labur RM100 juta tingkat kemudahan kilang

in Semasa by


ETIKA Group of Companies (Etika) melabur lebih RM100 juta untuk menaik taraf kilang tenusunya di Meru, Klang, Selangor dengan tambahan bahagian pengeluaran baharu, bagi meningkatkan pengeluaran susu tempatan dari kumpulan itu.


Etika merupakan syarikat minuman halal terkenal di Malaysia dan antara produk keluaran kumpulan itu termasuklah jenama Goodday Milk, yang merupakan pemimpin dalam kategori tenusu di negara ini.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Erwin Selvarajah berkata, kemudahan baharu itu melibatkan teknologi maju dan automatik bagi pengeluaran susu yang lebih cekap.


“Pada masa ini, Goodday Milk mempunyai pelbagai susu yang memenuhi keperluan semua pengguna.


“Baru-baru ini, syarikat telah melancarkan dua varian baharu iaitu Goodday Honey dan Goodday Green Tea bagi menarik lebih ramai penggemar susu,” katanya.


Kilang baharu Etika itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.


Erwin berkata, jualan tahunan Etika di Malaysia melepasi RM1 bilion, dengan mempunyai lebih 2,000 pekerja dan rangkaian pengedaran yang menyeluruh.


“Dalam pengeluaran tenusu, jumlah pelaburan kami melebihi RM100 juta sejak dua tahun lalu. Ini adalah bukti kepada komitmen kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab tempat tenusu halal bagi kumpulan,” katanya.


Selain kilang baharu di Meru, Etika turut mengendalikan kilang di negara jiran termasuk Indonesia dan Vietnam.


Etika juga mempunyai rangkaian eksport meluas lebih 30 buah negara di seluruh dunia, terutama dalam eksport produk tenusu.


Dalam pada itu, Erwin turut mengumumkan kerjasama Etika dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk menyumbang paket susu kepada kanak-kanak sekolah bagi membawa kebaikan Goodday Milk, dalam beberapa minggu akan datang.


“Sebagai sebuah syarikat yang dilaburkan untuk masa depan kanak-kanak Malaysia, kami mahu menggalakkan pengambilan susu bagi mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]