Guna peluru 'tembak' BN pada PRU14

in Politik by


KOTA BHARU – Jika dulu tentera menggunakan senjata mereka untuk mengalahkan musuh, tetapi kali ini bekas perajurit di negeri ini disarankan untuk ‘menembak’ BN pada PRU14 nanti bagi merampas Kelantan daripada Pas.


Timbalan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Kapten Zaharudin Omar berkata, jika kira-kira 21,000 bekas tentera negeri ini semuanya memilih untuk mengundi BN nanti, tidak mustahil hasrat itu menjadi kenyataan biarpun nampak agak sukar.


Menurut beliau, prinsip berdiri teguh memberi sokongan penuh kepada mempertahankan kerajaan BN mesti sentiasa ada di dalam jiwa biarpun sudah tidak lagi berkhidmat dalam tentera.


“Guna peluru tembak (undi) BN PRU14 nanti. Dulu kita berjuang pertahankan negara jadi apa salahnya nanti (PRU14) kita semua bekas tentera ini berjuang untuk menangkan BN di Kelantan pula.


“Orang Pas pun bagus. Tetapi kita harap bila ada wakil dalam kalangan tentera yang menang di Parlimen Kubang Kerian, maka beliau lagi ada kelebihan untuk memperjuangkan nasib bekas-bekas tentera ini. Kita kena cipta sejarah di Kubang Kerian.


“Banyak perkara yang kita boleh jadikan panduan semasa dalam tugas termasuk mengapa Jepun memilih mendarat di Pantai Sabak. Itu semua boleh dijadikan sebagai kekuatan untuk kita bersatu nanti demi sebuah kejayaan,” katanya.


Beliau menyampaikan ceramah sempena Seminar Penggerak Veteran ATM Parlimen Kubang Kerian yang turut dihadiri Yang Dipertuan PVATM Kelantan, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani di sini.


Sementara itu, Muhammad yang juga Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian berkata, kira-kira 1,500 bekas tentera berdaftar di Parlimen Kubang Kerian dan ia merupakan angka yang cukup besar baginya mencipta sejarah pada pilihan raya akan datang.


“Jika satu ahli persatuan kita boleh mencari lima ataupun 10 penyokong lain maka tidak mustahil sejarah akan tercipta di Kubang Kerian,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]