La Roja ke Rusia

in Sukan by


SEPANYOL menjamin tempat ke Piala Dunia 2018 selepas mempamerkan aksi garang pada perlawanan kelayakan Piala Dunia apabila gah menewaskan Albania 3-0, awal pagi semalam.


Meskipun kehilangan beberapa pemain berpengaruh seperti Alvaro Morata, Andres Iniesta dan Dani Carvajal kerana kecederaan, juara dunia 2010 itu jelas sekali tampak tidak tergugat.


“Perkara terbaik mengenai pasukan ini adalah komitmen, keinginan dan semangat yang dipamerkan setiap pemain,


“Tanpa ragu, sikap ini adalah perkara terbaik dimiliki pasukan dan sekiranya kami meneruskan keinginan sama, kami pastinya akan menjadi pasukan hebat.


“Tahniah kepada pemain kerana mencapai objektif yang sangat penting dalam bola sepak Sepanyol, walaupun sukar tetapi kami sudah melakukannya dengan bermain bola sepak yang bijak,” kata jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui.


Pada perlawanan itu, penyerang Valencia, Rodrigo Moreno yang membuat aksi antarabangsa pertamanya, membuka tirai jari-ngan pada minit ke-16 sebelum pemain tengah Real Madrid, Isco menambah kelegaan pada minit ke-23.


Sepupunya, Thiago Alcantara meledak gol ketiga, tiga minit kemudian.


Sementara itu, pengendali Albania, Christian Panucci akur La Roja lebih baik berbanding pasukannya.


“Sepanyol adalah antara pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia kerana pemain mereka mempunyai banyak pengalaman dan hari ini kami melihat kualiti yang mereka miliki,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]