Lapan diselamatkan selepas terperangkap dalam banjir

in Edisi by


TAPAH – Lapan individu termasuk empat wanita diselamatkan selepas terperangkap dalam kenderaan masing-masing dalam kejadian banjir kilat di laluan Tapah-Bidor berhampiran Kampung Tersusun Batu 2 Tambahan, di sini, petang tadi.


Kejadian sekitar jam 3.30 itu melibatkan sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki dan wanita, sebuah kereta jenis Proton Waja dinaiki empat mangsa, serta sebuah treler melibatkan pemandu dan kelindan kesemuanya berusia antara 20 hingga 50 tahun.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Rani Hanapiah berkata, kesemua kenderaan itu terperangkap lebih 15 minit apabila kawasan dilalui dinaikir air sedalam 0.9 meter sebelum berjaya diselamatkan anggota.


“Lokasi kejadian berada di kawasan agak rendah mengakibatkan air dari parit berdekatan melimpah. Mangsa diselamatkan menggunakan jaket keselamatan dan dibawa ke tempat selamat,” katanya.


Beliau berkata, operasi menyelamat diketuai Rahman Ibrahim itu tamat sekitar jam 4.57 petang.


Dalam pada itu, Jurutera Daerah, Saiful Azzuan Aznam berkata, kawasan yang dinaiki adalah di Seksyen 534.8 sepanjang 50 meter.


Katanya, laluan kedua-dua hala terpaksa ditutup kepada pengguna semua jenis kenderaan bagi tujuan keselamatan lebih dua jam.


“Hanya sekitar jam 5 petang, barulah air mulai surut dan satu laluan dibuka kepada pengguna,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]