Mat Taib pemimpin berjiwa besar

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Umno Selangor berbesar hati menyambut kepulangan semula Mantan Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyertai perjuangan parti itu setelah dua tahun bersama pembangkang.


Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail juga menyifatkan bekas pemimpin Umno yang lebih dikenali sebagai Mat Taib, seorang yang berjiwa besar apabila tidak segan silu mengakui kesilapannya meninggalkan Umno untuk menyertai pembangkang.


“Setelah bersama politik pembangkang, beliau akhirnya menyedari wadah perjuangan agama, bangsa dan negara yang dibawa pembangkang hanya sia- sia.


“Beliau ada maruah sebagai orang Melayu dan menyedari pemimpin Melayu hanya jadi tali barut dan boneka DAP.


“Tan Sri Mat Taib juga akur hanya Umno wadah perjuangan yang konsisten perjuangkan orang Melayu sejak kemerdekaan lagi,” katanya dalam sidang media, semalam.


Sementara itu, Zein Isma juga mengumumkan Badan Penerangan Umno Selangor sedang mengatur untuk menganjurkan program Jelajah Penerangan Isu Semasa yang akan menampilkan Mat Taib sebagai speaker khas.


Menurutnya, program berkenaan akan membongkarkan sebab musabab Mat Taib kembali menyertai Umno selain isu-isu berkaitan kerajaan pembangkang untuk dinilai sendiri oleh rakyat Selangor khususnya.


“Program jelajah berkenaan akan dianjurkan pada 17, 18 dan 28 Oktober ini masing-masing bertempat di Lembah Jaya, Meru dan juga Dusun Tua.


“Jelajah ini akan bongkarkan apa sebenarnya yang berlaku dalam kerajaan pembangkang hari ini dan Mat Taib juga akan ceritakan apa yang berlaku sepanjang beliau dalam pembangkang,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]