Pantau seludup minyak masak

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Sabah merekodkan negeri tertinggi berlaku penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran, kata Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Mohd Roslan Mahayudin.


Tanpa menyebut jumlah penyeludupan yang berlaku, beliau berkata, selain Sabah, aktiviti menyeludup minyak masak bersubsidi juga berlaku di Kelantan berikutan faktor kedudukan kedua-dua negeri itu yang berhampiran dengan negara jiran.


Bagaimanapun menurut Mohd Roslan, masalah itu masih berada pada tahap sederhana dan pasukan penguat kuasa KPDNKK sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan minyak masak bersubsidi itu tidak dibawa keluar ke negara luar.


“Macam beberapa bulan lepas, kita patahkan sindiket bawa keluar minyak masak bersubsidi di Sandakan, Sabah. Kita telah batalkan lesen dan kuota syarikat itu.


“Kita akan pastikan minyak masak ini tidak di bawa keluar kerana minyak masak peket sekilogram ini untuk rakyat tempatan sahaja,” katanya ketika melakukan operasi bersama Jabatan (NBOS) KPDNKK bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di perairan Kuala Terengganu, Merang dan Pulau Perhentian, di sini semalam.


Hadir sama Pengarah Operasi Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu, Komander Maritim Simon Templer Tusa dan pegawai penguat kuasa KPDNKK Terengganu.


Dalam operasi itu, pasukan KPDNKK dibantu oleh Maritim meninjau bekalan petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) di Pulau Perhentian selain menahan beberapa bot bagi menjalankan pemeriksaan.


Bagaimanapun, kesemua mereka didapati mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.


Mengulas mengenai penyeludupan diesel bersubsidi di negara ini, Mohd Roslan berkata, aktiviti itu dilihat tidak berlaku kerana harga diesel bersubsidi dan diesel biasa tidak banyak berbeza.


“Jika beza harga tak banyak, sindiket tidak dapat untung banyak,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]